fb fb fb fb fb

Serangan Israel di selatan Syria ragut 13 nyawa

Serangan Zionis di selatan Syria meragut 13 nyawa pada Jumaat / Foto REUTERS

DAMSYIK, 28 November - Tentera Israel membunuh 13 orang dalam satu operasi di selatan Syria pada Jumaat, angka kematian tertinggi sejak penggulingan Presiden Bashar al-Assad, hampir setahun lalu.

Sejak Assad dijatuhkan pasukan penentang pada Disember 2024, tentera Zionis melancarkan ratusan serangan selain menceroboh Syria.

Tentera Israel mendakwa satu insiden berbalas tembakan dalam operasi untuk menahan militan di kampung Beit Jin telah menyebabkan anggotanya cedera, dengan tiga daripadanya dalam keadaan serius.

Kementerian Luar Syria mengecam operasi itu sebagai jenayah perang dan menuduh Israel mahu memburukkan konflik di rantau itu.

"Jumlah korban meningkat kepada 13 pada lewat Jumaat, menurut pengarah kesihatan bagi wilayah Damsyik, Toufic Hassaba yang dipetik oleh agensi berita rasmi SANA.

SANA melaporkan, wanita dan kanak-kanak antara yang maut.

Manakala, beberapa penduduk masih terperangkap bawah runtuhan sementara puluhan keluarga melarikan diri dari kampung itu demi keselamatan.

Seorang koresponden AFP memaklumkan melihat beberapa mangsa cedera dibawa ke sebuah hospital di Damsyik, kira-kira 40 kilometer dari kampung tersebut.

“Kami sedang tidur apabila kami dikejutkan pada pukul 3:00 pagi oleh bunyi tembakan,” kata penduduk yang cedera, Iyad Daher kepada AFP di hospital al-Mouwassat di ibu negara Syria.

Tentera Israel berkata, sasaran operasi itu ialah pejuang Jamaah Islamiyah, yang berpusat di Lubnan.

Dakwa Zionis, suspek beroperasi di kawasan Beit Jin di selatan Syria dan telah merancang serangan terhadap orang awam Israel.

Seorang pegawai tempatan memberitahu AFP bahawa tindakan tentera Israel menyerbu kampung itu untuk menangkap tiga lelaki, mencetuskan pertempuran.

“Berikutan pertempuran itu, tentera pendudukan Israel membedil kawasan tersebut dengan artileri dan dron,” kata pegawai kampung Abdul Rahman al-Hamrawi.

Sementara itu, Pengarah Hak Asasi Manusia bagi Syria, Rami Abdul Rahman berkata, insiden pada Jumaat meragut banyak nyawa sejak Israel mula melancarkan operasi di luar zon penampan iaitu Bukit Golan di selatan Syria. - AFP

EMMI NORALIZA ADNAN