fb fb fb fb fb

Taiwan simpan stok makanan, tenaga sekiranya berlaku konflik dengan China

(FOTO AFP)

TAIPEI, 5 Oktober - Taiwan mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menyimpan stok bulanan bagi bekalan kritikal seperti makanan dan tenaga sekiranya berlaku konflik dengan China.

Timbalan Menteri Ekonomi Taiwan, Chen Chern-chyi berkata langkah itu sudah diwartakan dalam undang-undang supaya bekalan tenaga dapat dikekalkan oleh syarikat milik kerajaan, CPC Corp.

(Timbalan Menteri Ekonomi Taiwan, Chen Chern-chyi / FOTO REUTERS)

“Berkenaan dengan kemungkinan konflik ketenteraan, kami mempunyai persediaan untuk makanan dan bekalan tenaga termasuk bekalan pembuatan. Kami ada sistem, kami buat inventori setiap bulan.

"Kami mahu memastikan kami mempunyai tempoh simpanan tertentu di Taiwan, termasuk makanan, mineral, bahan kimia dan tenaga," katanya.

China mendakwa Taiwan yang diperintah secara demokrasi sebagai wilayahnya sendiri, dan melancarkan 'permainan' perang berhampiran pulau itu pada Ogos susulan lawatan Speaker Dewan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi ke Taipei.

Pada masa sama, Chern-chyi berkata kerajaan juga sedang meningkatkan penghasilan gas asli cecair (LNG), arang batu, nuklear dan tenaga boleh diperbaharui oleh negara itu.

“Kita ada undang-undang petroleum, kita ada undang-undang LNG, kita ada undang-undang pengurusan elektrik, jadi ada keperluan simpanan stok, dan kebanyakan syarikat tenaga termasuk Taipower dan CPC (Corp) perusahaan milik negara kita," katanya.

Negara itu juga kini sedang membina terminal LNG baharu secara besar-besaran di luar pantai barat lautnya.-REUTERS

Media Baharu