LONDON, 4 Julai – Bekas pemain tengah kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal, Thomas Partey, didakwa atas lima pertuduhan merogol dan satu pertuduhan serangan seksual.
Partey didakwa melakukan kesalahan itu terhadap tiga wanita antara 2021 hingga 2022.
Menurut pihak polis, dua pertuduhan rogol membabitkan seorang wanita, tiga pertuduhan rogol lagi melibatkan wanita kedua, manakala satu pertuduhan serangan seksual dikaitkan dengan wanita ketiga.
"Partey dijadualkan hadir di Mahkamah Majistret Westminster, London pada 5 Ogos ini," menurut Polis Metropolitan London hari ini.
Partey menyertai Arsenal dari Atletico Madrid pada Oktober 2020 dengan nilai €50 juta (kira-kira RM277 juta) dan pemain utama dalam kesebelasan utama kelab berkenaan.
Bagaimanapun, kontrak Partey bersama Arsenal telah tamat pada Isnin lalu.
Pada Julai 2022, pemain berusia 32 tahun itu pernah ditahan buat kali pertama berkaitan siasatan kes yang sama.
Namun identitinya tidak didedahkan ketika itu dan masih terus beraksi bersama Arsenal semasa siasatan dijalankan. - REUTERS