fb fb fb fb fb

Rusia lancar serangan udara besar-besaran ke atas Ukraine termasuk Kiev

Foto Reuters

KIEV, 5 Julai - Rusia telah melancarkan serangan udara berskala besar ke atas Ukraine, termasuk ibu negara Kiev, pada awal pagi Jumaat sebagai tindak balas terhadap apa yang didakwa oleh Moscow sebagai “aktiviti pengganas” yang dilakukan oleh Ukraine.

Kementerian Pertahanan Rusia dalam satu kenyataan memaklumkan, serangan itu melibatkan penggunaan peluru berpandu jarak jauh berketepatan tinggi yang dilancarkan dari darat, peluru berpandu hipersonik aero-balistik Kh-47M2 Kinzhal, serta dron serangan.

Menurut kementerian tersebut, antara sasaran utama serangan ialah perusahaan ketenteraan-industri Ukraine, termasuk pusat penyelidikan dan pengeluaran dron (dengan varian FPV khusus), serta sistem mobiliti ketenteraan automatik di Kiev.

Turut disasarkan ialah kemudahan pengeluaran peralatan penerbangan ketenteraan, pemasangan lapangan terbang tentera dan kilang penapisan minyak.

Kementerian itu mendakwa, semua sasaran berkenaan telah berjaya dimusnahkan sepenuhnya.

Dalam perkembangan berkaitan, kementerian turut melaporkan sistem pertahanan udara Rusia berjaya memintas dan memusnahkan sebanyak 48 dron Ukraine dalam tempoh semalaman di wilayah Rostov, Kursk, Belgorod, Oryol dan Lipetsk.

Gabenor Wilayah Moscow, Andrei Vorobyov, mengesahkan empat buah dron telah terhempas di bandar Sergiyev Posad pada pagi Jumaat, mengakibatkan dua orang mengalami kecederaan.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, turut mengesahkan serangan tersebut dan menyifatkannya sebagai “salah satu serangan paling besar setakat ini”.

Beliau berkata, ratusan dron dan peluru berpandu balistik telah digunakan dalam serangan tersebut yang turut menyasarkan beberapa lokasi lain termasuk Oblast Dnipropetrovsk, Sumy dan beberapa bandar utama yang lain.

Tentera Udara Ukraine dalam kenyataan berasingan memaklumkan, pasukan Rusia telah melancarkan kira-kira 550 senjata udara semasa serangan pada hari Jumaat, termasuk lebih 330 dron serangan.

Serangan itu menandakan peningkatan serius dalam konflik yang telah berlarutan sejak lebih dua tahun lalu dan menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan infrastruktur penting serta orang awam di kedua-dua negara.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN