fb fb fb fb fb

23 cedera nahas bas terbalik

23 penumpang cedera dalam nahas bas terbalik di Jerman./REUTERS

BERLIN, 4 Julai – Seramai 23 orang cedera apabila sebuah bas dalam perjalanan dari Copenhagen ke Vienna terbabas dan terbalik awal pagi Jumaat.

Kejadian berlaku di lebuh raya A19, kira-kira 150 kilometer di utara Berlin, Jerman.

Bas berkenaan membawa 54 penumpang daripada 20 negara berbeza.

Jurucakap polis Neubrandenburg, Claudia Berndt berkata, punca kemalangan masih dalam siasatan.

"Mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital-hospital berdekatan, manakala mereka yang tidak cedera ditempatkan sementara di tadika di Roebel. Mereka diberikan penjagaan di sana dan kemudiannya disoal siasat oleh pihak polis," katanya.

Beliau memberitahu, seorang penumpang mengalami kecederaan serius dan terperangkap dalam bas untuk tempoh yang lama sebelum berjaya diselamatkan.

Pasukan kecemasan segera dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memberikan rawatan kepada mangsa dan menguruskan laluan trafik yang terjejas akibat kemalangan tersebut. - REUTERS

KHAIRUL AMRI BIN YASIN