fb fb fb fb fb

Taiwan siap siaga berdepan taufan Kong-rey

Foto Fail

TAIPEI, 30 Oktober- Taiwan mengeluarkan amaran waspada pada Rabu susulan ketibaan taufan Kong-rey, esok.

Taufan itu dijangka mendarat di sepanjang pantai timur negara pulau berkenaan, membawa hujan lebat beserta angin kencang.

Menurut Pusat Amaran Taufan Bersama Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), taufan tiba dengan kelajuan angin hampir 300 km/j dan dijangka akan bertambah kuat sebelum melanda daerah Taitung.

"Taufan itu turut diramal merentasi selatan Taiwan, memasuki Selat Taiwan dan menuju ke China," kata Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan yang melabelkan Kong-rey sebagai taufan paling kuat untuk Taiwan.

Taburan hujan sehingga 1.2 meter (3.9 kaki) dijangka berlaku di timur pergunungan Taiwan dan angin pemusnah berkemungkinan melanda kawasan pantai pada Khamis, menurut pentadbiran.

Presiden Taiwan, Lai Ching-te menggesa orang ramai supaya menjauhi kawasan gunung dan pantai.

“Saya ingin menggesa rakan-rakan di bahagian timur, selatan dan utara negara supaya berwaspada,” tulisnya di laman Facebooknya.

Kementerian pertahanan Taiwan berkata ia telah meletakkan kira-kira 36,000 tentera bersiap sedia di seluruh pulau itu.

Peramal Pentadbiran Cuaca Pusat, Stan Chang berkata Taiwan jarang berdepan ancaman taufan, namun tidak menolak kemungkinan susulan faktor suhu laut yang lebih panas di Pasifik dan kawasan sejuk yang lebih lambat dari utara.

"Kita mesti menggesa orang ramai membuat persiapan. Ia adalah taufan yang kuat dengan saiz yang besar," tambah Chang.

Hujan lebat juga dijangka turun di utara sekitar ibu kota Taipei sepanjang Khamis.

Terdahulu, Taufan Krathon membunuh empat orang awal bulan ini ketika ia melalui selatan pulau itu.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM