JIUQUAN, 30 Oktober – Tiga angkasawan China, termasuk seorang jurutera penerbangan angkasa wanita pertama negara itu, berjaya memasuki stesen angkasa Tiangong pada Rabu selepas dilancarkan ke orbit pada awal pagi.
Misi Shenzhou-19 dilancarkan pada pukul 4:27 pagi (2027 GMT Selasa) dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China, lapor Xinhua.
Di antara kru tersebut ialah Wang Haoze, 34 tahun, satu-satunya jurutera penerbangan angkasa wanita China, menurut Agensi Angkasa Lepas Berawak China (CMSA).
Beliau adalah wanita China ketiga yang menyertai misi berawak.
Kru tiba sekitar pukul 12:51 tengah hari dan bertemu dengan angkasawan dari misi terdahulu Shenzhou-18.
Pasukan baharu Tiangong ini akan menjalankan eksperimen dalam usaha mencapai matlamat program angkasa China untuk menghantar angkasawan ke Bulan menjelang tahun 2030 serta membina pangkalan di bulan.
"Sama seperti orang lain, saya berimpian untuk pergi ke stesen angkasa untuk melihat-lihat," kata Wang dalam satu pertemuan media pada Selasa bersama ahli kru yang lain.
"Saya ingin melaksanakan setiap tugas dengan cermat dan melindungi rumah kita di angkasa," tambahnya. "Saya juga ingin mengembara ke angkasa lepas."
Agensi angkasa itu menyifatkan pelancaran sebagai "berjaya sepenuhnya", lapor Xinhua.
Kira-kira 10 minit selepas berlepas, kapal angkasa tersebut berpisah daripada roket dan memasuki orbit yang ditetapkan.
Xinhua kemudian melaporkan bahawa kapal angkasa tersebut telah "melakukan pertemuan dan dok automatik pantas dengan pelabuhan hadapan modul teras stesen angkasa Tianhe pada pukul 11:00 pagi". Ketiga-tiga angkasawan itu kemudiannya memasuki modul tersebut.–AFP