fb fb fb fb fb

Wartawan Mexico maut ditembak

Gambar Hiasan

MEXICO, 30 Oktober - Seorang wartawan ditembak mati pada Selasa di barat Mexico, bahagian negara yang banyak diancam dengan kes jenayah terancang.

Mauricio Cruz Solis, hos di stesen radio tempatan La Poderosa Uruapan yang turut menerbitkan berita di saluran Minuto x Minuto, terbunuh di bandar Uruapan.

Seorang lagi cedera dalam serangan itu, kata pejabat pendakwa raya.

Sementara itu, stesen radio tempat Cruz Solis bekerja meratapi pembunuhannya dalam satu kenyataan yang disiarkan di media sosial.

"Mauricio lebih daripada seorang rakan sekerja, dia adalah kawan yang sangat baik, sumber inspirasi dan suara yang tidak jemu dalam memberi perkhidmatan masyarakat," kata stesen itu.

Mexico adalah salah satu negara paling berbahaya di dunia untuk wartawan disebabkan keganasan berkaitan pengedaran dadah.

Organisasi antarabangsa, 'Reporters Without Borders' mendedahkan lebih 150 wartawan terbunuh di negara itu sejak 1994.

Ini adalah pembunuhan pertama menimpa wartawan sejak kerajaan Mexico diketuai Presiden, Claudia Sheinbaum memegang kuasa pada awal bulan ini.

Dalam insiden pada 18 Oktober lepas, seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di hadapan pejabat akhbar El Debate di bandar Culiacan yang digegarkan dengan pergaduhan kumpulan yang berlanjutan selama berminggu-minggu.

Trainee