fb fb fb fb fb

Kes rasuah import gula, Indonesia tahan bekas menteri

Pihak berkuasa Indonesia menahan seorang bekas menteri perdagangan atas tuduhan memberikan permit import gula secara tidak sah pada tahun 2015 / Foto Hiasan

JAKARTA, 30 Oktober – Pihak berkuasa Indonesia menahan seorang bekas menteri perdagangan atas tuduhan memberikan permit import gula secara tidak sah pada tahun 2015, yang menyebabkan kerugian sebanyak AS$25 juta.

Thomas Trikasih Lembong ditahan pada lewat Selasa oleh pendakwa dari Pejabat Peguam Negara atas tuduhan memberi permit kepada sebuah syarikat swasta ketika Indonesia mempunyai lebihan gula, menurut kenyataan pejabat tersebut.

"Pada masa itu, Indonesia tidak perlu mengimport gula tetapi (Lembong) telah memberikan permit untuk mengimport 105,000 tan metrik gula kristal mentah," kata pendakwa Abdul Qohar dalam satu sidang media.

Qohar juga menjelaskan bahawa tiada perundingan dilakukan dengan badan kerajaan lain atau saranan daripada kementerian industri, dan keputusan tersebut mengakibatkan kerugian sebanyak 400 bilion rupiah (AS$25.42 juta).

Beliau bagaimanapun tidak menyebut apa yang Lembong didakwa terima sebagai balasan atas pemberian permit kepada syarikat yang hanya dikenali dengan singkatan PT AP.

Pejabat Peguam Negara menafikan bahawa siasatan tersebut bermotifkan politik.

Lembong, seorang bekas jurubank pelaburan, pernah menjadi Menteri Perdagangan Indonesia antara 2015 dan 2016 serta pembantu rapat bekas presiden Joko "Jokowi" Widodo, di mana beliau sering menulis ucapan antarabangsa untuknya.

Namun, selepas meninggalkan jawatan pada 2019, beliau menjadi pengkritik tegar terhadap kerajaan Jokowi.

Pada tahun 2015, pengeluaran gula Indonesia adalah sebanyak 2.49 juta tan metrik, manakala penggunaan adalah 2.12 juta tan. – REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN