MADRID, 30 Oktober - Banjir besar akibat hujan lebat di wilayah timur Valencia, Sepanyol telah mengorbankan sekurang-kurangnya 51 orang, kata pasukan penyelamat pada Rabu.
Hujan lebat dan angin kencang melanda selatan dan timur Sepanyol sejak awal minggu, mencetuskan banjir di Valencia dan wilayah Andalusia di selatan.
"Jumlah korban setakat ini adalah seramai 51 orang," tulis pasukan kecemasan wilayah di laman X.
Mayat-mayat masih ditemui dan sedang dikenal pasti, tambah mereka.
Beberapa bahagian di wilayah Valencia mengalami gangguan bekalan elektrik dan talian telefon, dengan beberapa kawasan terputus hubungan akibat jalan raya yang ditenggelami air, menurut ketua wilayah, Carlos Mazon.
Rakaman video menunjukkan air deras melimpah di jalanan pada Selasa, menghanyutkan kenderaan, manakala perkhidmatan kereta api dan penerbangan turut terjejas teruk.
Parlimen Sepanyol mengadakan seminit bertafakur pada Rabu bagi memperingati mangsa sebelum sesi soal jawab dengan kerajaan yang biasanya hangat.-AFP