WASHINGTON, 30 Oktpber - Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS), Pramila Jayapal, pada Selasa mengkritik keras pentadbiran Biden kerana kurangnya tindakan untuk menjalankan siasatan bebas terhadap pembunuhan aktivis Turkiye-Amerika, Aysenur Ezgi Eygi, bulan lepas oleh tentera Israel di Tebing Barat yang diduduki, lapor Agensi Anadolu (AA).
"Sudah 53 hari sejak Aysenur Ezgi Eygi dibunuh di Tebing Barat, dan kita masih belum melihat sebarang langkah ke arah siasatan bebas oleh Kerajaan AS," tulis Jayapal di platform X.
Beliau menegaskan walaupun AS adalah penyokong terbesar bantuan ketenteraan kepada Israel, dan “jika kerajaan Israel tidak mahu atau tidak mampu mematuhi undang-undang domestik kita sendiri serta undang-undang kemanusiaan antarabangsa, kita mesti menuntut kebertanggungjawapan."
Ahli Kongres itu menggesa AS untuk melancarkan siasatan mereka sendiri.
"Bagi memastikan kepercayaan warganegara AS kita sendiri, kita mesti memulakan siasatan kita sendiri terhadap pembunuhan Eygi, menggunakan pengaruh kita untuk menuntut perubahan terhadap peraturan pertempuran IDF (tentera Israel), dan menggunakan undang-undang domestik kita untuk situasi ini bagi memastikan kebertanggungjawapan sepenuhnya," katanya.
Jayapal turut menekankan usaha baru-baru ini daripada Kongres, di mana 102 ahli telah menandatangani surat yang menyeru siasatan bebas terhadap kematian Eygi.
"Saya dan rakan sekerja saya tidak akan berhenti sehingga kami mendapat jawapan," katanya.
Eygi, 26, yang mempunyai dua kerakyatan Turkiye-AS, dibunuh tentera Israel pada 6 Sept semasa menyertai protes aman terhadap penempatan haram Israel berhampiran Nablus di Tebing Barat yang diduduki.
Siasatan awal oleh tentera Israel mendapati Eygi "berkemungkinan besar" terkena tembakan "secara tidak langsung dan tidak sengaja" yang disasarkan kepada "penganjur utama aktiviti ganas yang membaling batu" semasa protes berkenaan.
Bagaimanapun, bukti video dan keterangan saksi bertentangan dengan versi kejadian yang diberikan oleh Israel.
Satu laporan oleh The Washington Post turut mendedahkan bahawa Eygi ditembak selepas puncak konfrontasi di Beita dan selepas penunjuk perasaan bergerak lebih 183 meter ke bawah jalan utama, jauh daripada tentera Israel.
Keluarga Eygi berkata beliau dibunuh dalam serangan yang disengajakan dan menyeru Kerajaan AS supaya melancarkan siasatan bebas terhadap pembunuhannya.
Pihak berkuasa Turkiye juga sedang menjalankan siasatan mereka terhadap pembunuhan Eygi. - BERNAMA