fb fb fb fb fb

Kebakaran limbungan kapal selam nuklear, tiada risiko nuklear dikesan

Limbungan kapal selam nuklear di Barrow-in-Furness, Cumbria / Foto AFP

LONDON, 30 Oktober – Anggota bomba di barat laut England hari ini berdepan dengan kebakaran besar di limbungan kapal selam nuklear milik sebuah firma senjata, menyebabkan dua orang dimasukkan ke hospital.

Pihak berkuasa menegaskan tiada risiko nuklear daripada kebakaran tersebut, yang berlaku di tapak milik BAE Systems di Barrow-in-Furness, Cumbria, awal pagi tadi.

Limbungan itu merupakan tempat pembinaan kapal selam bersenjata dan berkuasa nuklear milik Tentera Laut Diraja.

“Perkhidmatan kecemasan masih berada di BAE untuk menangani kebakaran besar di tapak itu,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Forum Ketahanan Tempatan Cumbria melalui pihak polis.

“Tiada risiko nuklear,” tambah kenyataan itu lagi.

Kenyataan terdahulu menyebut bahawa dua individu telah dibawa ke hospital kerana disyaki mengalami sesak nafas akibat terhidu asap.

Penduduk berhampiran limbungan diminta untuk menutup pintu dan tingkap serta menjauhi kawasan itu sementara perkhidmatan kecemasan menjalankan tugas mereka.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Cumbria dijangka berada di tapak sepanjang hari ini,” tambah kenyataan tersebut.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN