fb fb fb fb fb

Taiwan larang agensi kerajaan guna DeepSeek

FOTO AFP

TAIPEI, 1 Februari- Taiwan telah melarang pekerja sektor awam dan fasiliti infrastruktur utama daripada menggunakan DeepSeek, dengan alasan ia merupakan produk dari China dan boleh membahayakan keselamatan negara.

DeepSeek melancarkan chatbot R1 bulan lalu, mendakwa ia setanding dengan kapasiti peneraju kecerdasan buatan (AI) di Amerika Syarikat dengan pelaburan yang lebih rendah.

Beberapa negara termasuk Korea Selatan, Ireland, Perancis, Australia dan Itali telah menimbulkan persoalan mengenai amalan pengurusan data oleh syarikat AI dari China tersebut.

Kementerian Hal Ehwal Digital Taiwan pada Jumaat berkata semua agensi kerajaan dan infrastruktur kritikal tidak boleh menggunakan DeepSeek kerana ia "membahayakan keselamatan maklumat negara".

"Perkhidmatan AI DeepSeek adalah produk dari China," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

"Operasinya melibatkan penghantaran merentas sempadan dan kebocoran maklumat serta isu keselamatan maklumat lain."

Taiwan telah lama menuduh China menggunakan taktik "grey zone" tindakan yang tidak sampai ke tahap perang terhadap pulau itu, termasuk serangan siber, ketika Beijing menekan tuntutannya terhadap kedaulatan pulau tersebut.

Sejak 2019, Taiwan telah melarang agensi kerajaan daripada menggunakan produk dan perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi yang menimbulkan ancaman kepada keselamatan maklumat negara.

DeepSeek menimbulkan kegemparan di Wall Street minggu ini dengan chatbot baharunya yang berkuasa, yang dipercayai setanding dengan syarikat-syarikat AS dalam kemampuannya tetapi dengan kos yang lebih rendah.

Ini berlaku meskipun terdapat rejim ketat di AS yang melarang syarikat China daripada mengakses cip-cip canggih yang diperlukan untuk memacu model pembelajaran besar yang digunakan untuk membangunkan AI.

Larangan Taiwan itu dibuat ketika pengawas data di Korea Selatan dan Ireland menyatakan bahawa mereka akan meminta DeepSeek menjelaskan bagaimana ia menguruskan maklumat peribadi pengguna.

Pada awal minggu ini, Itali memulakan siasatan ke atas model R1 dan menyekatnya daripada memproses data pengguna Itali.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE