RAMALLAH, 1 Februari- Israel dijangka akan membebaskan 183 tahanan pada hari Sabtu dalam pertukaran tebusan tahanan keempat bawah perjanjian gencatan senjata Gaza.
"Jumlah terkini tahanan yang akan dibebaskan esok adalah 183 orang," kata jurucakap Kelab Tahanan Palestin, Amani Sarahneh, pada Jumaat, selepas sebelum ini mengumumkan bahawa 90 tahanan akan dibebaskan dari penjara Israel.
Kumpulan pendukung tersebut menerbitkan dua senarai nama yang akan dibebaskan pada hari Sabtu.
Senarai pertama mengandungi 72 tahanan yang ditangkap sebelum serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 terhadap Israel.
Senarai kedua mengandungi 111 nama tahanan Gaza yang ditahan selepas serangan yang mencetuskan peperangan di wilayah Palestin itu.
Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 19 Januari, Hamas telah membebaskan 15 tebusan selepas menahan mereka selama lebih 15 bulan.
Tiga tebusan yang akan dibebaskan pada Sabtu adalah Yarden Bibas, Keith Siegel yang juga memegang kewarganegaraan AS dan Ofer Kalderon yang juga mempunyai kewarganegaraan Perancis, menurut kumpulan kempen Forum Keluarga Tertawan dan Hilang.
Sejak gencatan senjata bermula, Israel telah membebaskan ratusan tahanan Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak bawah umur.-AFP