TAIPEI, 20 Disember - Presiden Taiwan, Lai Ching-te, akan menjalankan siasatan menyeluruh dan telus berhubung serangan maut di Stesen Utama Taipei, satu daripada stesen metro di bandar berkenaan selepas beliau menziarahi beberapa hospital pada Sabtu.
Menurut pihak berkuasa, seorang suspek berusia 27 tahun melepaskan bom asap di stesen itu ketika waktu puncak petang Jumaat sebelum melakukan serangan dengan pisau.
Berdasarkan maklumat pihak berkuasa, serangan itu meragut tiga nyawa di stesen berkenaan, kawasan membeli-belah bawah tanah dan stesen metro lain, manakala sekurang-kurangnya 11 yang lain mengalami kecederaan.
Datuk Bandar Taipei dalam taklimat pada Jumaat memaklumkan, suspek dikehendaki kerana mengelak khidmat ketenteraan. Suspek dilaporkan meninggal dunia akibat bunuh diri selepas serangan itu.
Pihak berkuasa menyifatkan kejadian itu sebagai 'perbuatan disengajakan', tetapi motif sebenar masih belum jelas.
Semasa menziarahi hospital, Lai menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menyatakan komitmen kerajaan untuk telus dalam siasatan.
"Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada mereka yang kehilangan nyawa dalam serangan ganas dan mengerikan malam tadi, serta menyampaikan simpati kepada keluarga mereka," kata Lai di salah satu hospital.
Beliau telah mengarahkan siasatan penuh dan menyeluruh serta akan memberi penjelasan penuh kepada orang awam tentang kejadian itu.
Kejadian jenayah ganas jarang berlaku di Taiwan. Insiden serupa terakhir berlaku pada 2014, apabila seorang lelaki menyerang dengan pisau di metro, mengakibatkan empat kematian.- AFP