fb fb fb fb fb

1,000 penyelamat pantai beri penghormatan kepada mangsa Pantai Bondi

1,000 penyelamat pantai Australia berkumpul beri penghormatan susulan kejadian maut di Pantai Bondi/ REUTERS

SYDNEY, 20 Disember - Seramai 1,000 penyelamat pantai Australia mengadakan perhimpunan di Pantai Bondi, di sini pada pagi Sabtu selepas kejadian dua penembak membunuh 15 individu dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain di pantai berkenaan.

Menurut seorang jurucakap penyelamat pantai Australia, para sukarelawan dan penyelamat pantai profesional Bondi, yang memakai pakaian seragam merah dan kuning, berdiri di atas pasir selama dua minit untuk memperingati mangsa tembakan itu.

Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri New South Wales, berikrar melaksanakan pelbagai reformasi termasuk memperketatkan undang-undang kawalan senjata api.

Serangan bersenjata besar-besaran itu, yang merupakan tragedi paling buruk di Australia dalam hampir 30 tahun, sedang disiasat. Pihak berkuasa juga telah meningkatkan kawalan dan rondaan di seluruh negara bagi mencegah sebarang keganasan susulan.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menyifatkan kejadian itu sangat dahsyat kerana telah meragut ramai individu di Pantai Bondi.

"Minggu ini merupakan minggu dahsyat dalam sejarah Australia. Keganasan menyasarkan orang awam di Pantai Bondi. Negara ini turut berduka dengan kejadian berkenaan," kata Anthony Albanese.

Sementara itu Premier New South Wales, Chris Minns, pula mengumumkan langkah kerajaan negeri dalam menangani keganasan di kawasan itu.

"Kerajaan akan memperkenalkan undang-undang baharu yang mengharamkan simbol kebencian dan memberi kuasa lebih besar kepada polis untuk menanggalkan penutup muka semasa perhimpunan dan demonstrasi awam. Kerajaan juga akan meneliti langkah tambahan untuk membanteras slogan kebencian," katanya.

Dalam usaha untuk mendapatkan gambaran lengkap mengenai insiden itu, Minns turut mencadangkan penubuhan suruhanjaya diraja.

"Saya percaya kita memerlukan suruhanjaya diraja. Sekarang ini, kita hanya ada serpihan maklumat, tetapi tidak gambaran penuh. Sehingga kita mempunyai gambaran lengkap dan tepat tentang bagaimana kejadian ini berlaku serta rancangan untuk memastikan ia tidak berulang.

"Saya tidak mempunyai jawapan kepada rakyat New South Wales mengenai apa yang berlaku pada hari Ahad. Ya, siasatan jenayah telah mendedahkan sebahagian fakta, tetapi kita memerlukan tinjauan menyeluruh terhadap peristiwa mengerikan ini," katanya.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI