TAIPEI, 11 Disember- Sebanyak 53 pesawat tentera dan 19 kapal perang China dikesan berhampiran Taiwan dalam tempoh 24 jam, ketika Beijing melancarkan mobilisasi maritim terbesar dalam beberapa tahun.
Menurut laporan harian Kementerian Pertahanan Taiwan, pesawat dan kapal perang tersebut berada di ruang udara dan perairan Taiwan dalam tempoh 24 jam sehingga pukul 6.00 pagi waktu tempatan hari Rabu.
Jumlah pesawat yang dikesan berkenaan adalah yang tertinggi dalam sehari sejak rekod 153 pesawat dilaporkan pada 15 Oktober lalu.
Ini selepas China mengadakan latihan ketenteraan besar-besaran sebagai tindak balas kepada ucapan Presiden Taiwan, Lai Ching-te, beberapa hari sebelumnya.
Pada Selasa, sebanyak 47 pesawat China dikesan di ruang udara Taiwan bersama 12 kapal perang China berhampiran pulau itu.
China kini mengerahkan kira-kira 90 kapal di sepanjang "rantai pulau pertama," yang menghubungkan Okinawa, Taiwan dan Filipina, apa yang dianggap Taipei sebagai latihan maritim terbesar Beijing dalam beberapa tahun.
Namun, tiada pengumuman rasmi daripada tentera China atau media negara itu mengenai peningkatan aktiviti ketenteraan di Laut China Timur, Selat Taiwan, Laut China Selatan atau Lautan Pasifik Barat.
Spekulasi semakin memuncak bahawa China mungkin melancarkan latihan ketenteraan sebagai tindak balas kepada lawatan Presiden Taiwan, Lai Ching-te ke Amerika Syarikat minggu lalu.- AFP