CALIFORNIA, 11 Disember- Kebakaran hutan semakin teruk susulan angin kencang memaksa beberapa penduduk di Malibu, California berpindah pada Selasa.
Situasi itu mengancam kemusnahan rumah, memutuskan bekalan elektrik selain menutup laluan jalan raya di kawasan pantai yang terkenal itu.
Kebakaran yang bermula dengan hanya lima ekar (dua hektar) telah merebak kepada 2,713 ekar (1,097 hektar) sepanjang kawasan pergunungan curam, menuju ke selatan melepasi Pacific Coast Highway di bandar pantai berpenduduk kira-kira 10,000 orang itu.
Ketua Bomba Daerah Los Angeles, Anthony Marrone melaporkan bahawa kebakaran tersebut masih belum dapat dikawal sepenuhnya, telah memusnahkan beberapa rumah.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan atau kematian dilaporkan, setakat ini.
"Kami akan melaksanakan kaedah darat dan udara secara serentak. Tambahan 300 anggota akan menyertai 700 anggota sedia ada yang telah bertugas.
Ini dibuat memandangkan kita berdepan kesukaran di kawasan ini. Masa adalah faktor kritikal untuk kami mengawal kebakaran ini. Punca kebakaran masih belum diketahui," tambah Marrone.
Sementara itu, Sherif Daerah Los Angeles, Robert Luna, berkata 2,043 struktur kini berada di bawah arahan pemindahan manakala 6,046 lagi menerima amaran pemindahan.
Antara mereka yang berpindah ialah pelakon veteran, Dick Van Dyke, yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-99 pada Jumaat.
Dalam hantaran di Facebook, Van Dyke memaklumkan bahawa beliau, isterinya dan haiwan peliharaan mereka telah meninggalkan kawasan tersebut, sambil berharap komuniti di Serra Retreat selamat daripada kebakaran ini.
Pada Selasa, rumah-rumah yang terbakar masih mengeluarkan asap, sementara pesawat menjatuhkan air ke kawasan tumbuhan yang terbakar.
Penduduk Malibu, Fred Roberts, berkata angin yang bertiup dari Malibu Canyon dirasakannya seperti "obor api."
Gabenor Gavin Newsom mengumumkan bahawa California telah mendapatkan geran daripada Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) untuk mendapatkan sumber tambahan bagi memadamkan kebakaran.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) mengeluarkan amaran, menandakan risiko kebakaran tinggi di kawasan tersebut dengan angin Santa Ana dijangka mencapai kelajuan 104 km/j pada Selasa, keadaan yang digambarkan sebagai sangat berbahaya.
Amaran itu dijangka berkuat kuasa hingga Rabu, tetapi perkhidmatan cuaca menjangkakan angin akan reda selepas itu.- REUTERS