fb fb fb fb fb

Taiwan kesan 11 belon China dalam 24 jam

FOTO FAIL REUTERS

TAIPEI, 7 Mac- Kementerian Pertahanan Taiwan mengesahkan bahawa sebanyak 11 belon China dikesan berlegar berhampiran pulau itu dalam tempoh 24 jam, menurut laporan pada Jumaat.

Belon tersebut dikesan bersama lima pesawat dan enam kapal perang China sehingga pukul 6:00 pagi, menurut laporan harian kementerian itu.

Jumlah tersebut merupakan angka tertinggi yang pernah direkodkan, berdasarkan data sejak Disember 2023 yang dikumpulkan oleh AFP.

China secara konsisten menegaskan bahawa Taiwan, yang diperintah secara demokratik, adalah sebahagian daripada wilayahnya dan berulang kali mengancam untuk menggunakan kekerasan bagi membawa pulau itu di bawah kawalannya.

Beijing juga telah meningkatkan kehadiran jet pejuang dan kapal tentera laut di sekitar Taiwan sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi memperkukuh tuntutan kedaulatannya, yang ditolak oleh Taipei.

Taiwan dilihat sebagai titik panas yang berpotensi mencetuskan konflik antara China dan Amerika Syarikat, di mana Washington merupakan sekutu utama serta pembekal senjata terbesar pulau tersebut.

Walaupun Amerika Syarikat terikat secara undang-undang untuk membekalkan senjata kepada Taiwan sesuatu yang ditentang keras oleh Beijing, Washington sejak sekian lama mengamalkan "strategic ambiguity" mengenai sama ada mereka akan campur tangan secara ketenteraan sekiranya China melancarkan serangan.

Di sebalik sokongan kukuh dan berterusan Kongres AS terhadap Taiwan, timbul kebimbangan bahawa Presiden Donald Trump mungkin tidak menganggap pulau itu berbaloi untuk dipertahankan sekiranya diserang oleh China.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE