fb fb fb fb fb

Guayaquil berdarah: Pertempuran geng dadah ragut 12 nyawa

FOTO HIASAN

GUAYAQUIL, 7 Mac- Puak berseteru dalam geng dadah Ecuador bertempur sesama sendiri pada Khamis di bandar pelabuhan Guayaquil, mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang, menurut pegawai.

Ketua polis tempatan, Herbie Guamani melaporkan jumlah korban itu, manakala sumber polis berkata kejadian tembak-menembak itu melibatkan puak lawan dalam geng Los Tigerones salah satu geng paling berpengaruh di negara yang dahulunya aman ini.

Ecuador kini menjadi pusat kepada kira-kira 20 geng jenayah yang terlibat dalam pengedaran dadah, penculikan dan pemerasan, menyebabkan kekacauan di negara dengan 18 juta penduduk yang terhimpit di antara dua pengeluar kokain terbesar dunia, Peru dan Colombia.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Ecuador dilanda gelombang keganasan akibat penyebaran kartel transnasional yang menggunakan pelabuhan seperti Guayaquil untuk menghantar kokain ke Amerika Syarikat dan Eropah.

Sebagai contoh, kadar pembunuhan melonjak daripada 6 bagi setiap 100,000 penduduk pada 2018 kepada rekod tertinggi 47 pada 2023.

Pakar menyatakan bahawa geng-geng ini terus berkembang dan bertambah kuat hasil keuntungan daripada jenayah.

Guayaquil ialah ibu kota wilayah Guayas, salah satu daripada tujuh wilayah yang berada di bawah perintah darurat sejak dua bulan lalu ketika kerajaan giat memerangi kumpulan penjenayah ini.

Bulan lalu, Presiden Daniel Noboa berkata beliau akan meminta bantuan pasukan khas dari negara sekutu bagi membantu memerangi keganasan ini.

Keganasan berkenaan berterusan ketika Ecuador bersiap sedia untuk pusingan kedua pilihan raya pada 13 April, di mana Noboa akan berdepan calon sayap kiri, Luisa Gonzalez.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE