OTTAWA, 7 Mac- Kanada memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan tarif balas bernilai CAD$125 bilion terhadap barangan Amerika Syarikat (AS) selepas Presiden Donald Trump bersetuju untuk menggantung levi ke atas eksport Kanada yang dilindungi bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (USMCA).
Menteri Kewangan Kanada, Dominic LeBlanc, yang mengetuai rundingan perdagangan Kanada-AS, mengumumkan perkara itu dalam satu kenyataan di platform X pada Khamis.
"Kanada tidak akan meneruskan gelombang kedua tarif bernilai CAD$125 bilion ke atas produk AS sehingga 2 April, sementara kami terus berusaha untuk menghapuskan semua tarif," kata LeBlanc.
Gelombang pertama tarif balas Kanada terhadap barangan AS bernilai CAD$30 bilion telah berkuat kuasa pada Selasa lalu, selepas Trump mengenakan levi 25 peratus ke atas kebanyakan import Kanada ke AS. Sumber kerajaan Kanada mengesahkan kepada AFP bahawa tarif tersebut akan kekal berkuat kuasa.
Sebelum itu, Trump telah menandatangani arahan untuk menangguhkan levi bagi import yang dilindungi oleh USMCA, memberi sedikit kelegaan kepada syarikat dan pengguna selepas reaksi negatif di pasaran kewangan.
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, menyatakan bahawa Ottawa akan terus berada dalam perang perdagangan dengan Washington untuk masa yang akan datang walaupun terdapat kelonggaran untuk sektor tertentu.
"Matlamat kami tetap untuk menghapuskan semua tarif ini," tambah Trudeau.-AFP