fb fb fb fb fb

Rusia anggap kenyataan nuklear Macron sebagai ancaman

Presiden Perancis, Emmanuel Macron / REUTERS

MOSCOW, 7 Mac- Rusia menyifatkan kenyataan Presiden Emmanuel Macron mengenai kemungkinan meluaskan perlindungan nuklear Perancis kepada negara Eropah lain sebagai satu ancaman.

Perkara itu disuarakan Menteri Luar, Sergei Lavrov pada Khamis.

Lavrov turut menegaskan pendirian tegas Rusia yang menolak kehadiran pasukan tentera Eropah di Ukraine, meskipun jika satu perjanjian damai dicapai bagi menghentikan konflik tersebut.

Macron pada Rabu menyifatkan Rusia sebagai ancaman kepada Perancis dan Eropah serta menyuarakan kebimbangan bahawa Amerika Syarikat mungkin mengubah pendirian mereka berhubung konflik Ukraine di bawah kepimpinan Presiden Donald Trump.

Presiden Perancis itu turut menyatakan hasrat untuk membuka perbincangan mengenai peluasan perlindungan nuklear negaranya selepas mengadakan perbualan telefon dengan bakal Canselor Jerman, Friedrich Merz.

"Sudah tentu ini satu ancaman terhadap Rusia. Jika dia (Macron) melihat kami sebagai ancaman dan bercakap mengenai keperluan menggunakan senjata nuklear terhadap Rusia, ia jelas satu ancaman," kata Lavrov dalam sidang media.

Sebagai tindak balas, Presiden Rusia Vladimir Putin menyindir Perancis, berkata: "Masih ada yang mahu kembali ke zaman Napoleon, lupa bagaimana ia berakhir."

Untuk rekod, Maharaja Perancis Napoleon Bonaparte pernah menceroboh Empayar Rusia pada tahun 1812 dalam kempen ketenteraan selama enam bulan yang berakhir dengan kemenangan Rusia.

Macron membalas sindiran Putin selepas satu sidang kemuncak di Brussels pada Khamis, menggelar presiden Rusia itu sebagai seorang imperialis yang cuba "menulis semula sejarah".

Jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova, pula berkata Macron terputus daripada realiti dan mengeluarkan kenyataan yang bercanggah.

Dalam masa sama, Macron menegaskan bahawa pasukan tentera Eropah boleh dihantar ke Ukraine jika satu perjanjian damai dimeterai untuk memastikan pemeliharaan perjanjian tersebut.

Lavrov bertegas Rusia tidak akan berganjak daripada pendirian mereka untuk menolak kehadiran tentera Eropah di Ukraine sebagai pasukan pengaman, dengan menyatakan mereka tidak akan bersikap neutral.

"Kami tidak nampak sebarang ruang untuk kompromi. Perbincangan ini jelas mempunyai niat yang bermusuhan," katanya.

Beliau turut menyamakan tentera Eropah di Ukraine dengan kehadiran NATO, menambah bahawa Rusia akan menganggap mereka sebagai ancaman langsung.

Lavrov turut membandingkan Macron dengan Hitler dan Napoleon, dengan berkata walaupun Macron tidak secara terbuka menyatakan mahu menawan Rusia, namun beliau jelas mempunyai niat yang sama.

Menurutnya lagi, Macron membuat tuduhan bodoh terhadap Rusia yang telah ditolak oleh Putin sebagai tidak masuk akal dan gila.- AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE