WASHINGTON, 7 Mac- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sekali lagi mempersoalkan kesediaan Washington untuk mempertahankan sekutu NATO, menyatakan beliau tidak akan berbuat demikian jika negara anggota tidak membayar secukupnya untuk pertahanan mereka sendiri.
“Ini logik mudah,” kata Trump kepada wartawan di Pejabat Oval. “Kalau mereka tak bayar, saya takkan pertahankan mereka. Tidak, saya takkan pertahankan.”
Trump berkata pandangan itu bukan perkara baharu dan sudah dikongsikan kepada sekutu NATO semasa penggal pertamanya sebagai presiden dari 2017 hingga 2021. Walaupun tekanan itu mendorong peningkatan perbelanjaan pertahanan dalam kalangan anggota perikatan transatlantik berusia 75 tahun itu, beliau berpendapat sumbangan tersebut masih belum mencukupi.
“Mereka sepatutnya bayar lebih,” tambahnya.
Di tengah-tengah pakatan NATO adalah klausa bantuan bersama, diwujudkan pada 1949 bagi membendung ancaman serangan Soviet ke atas wilayah sekutu.
Kenyataan Trump itu dijangka mencetuskan kebimbangan di Eropah dan Asia, memandangkan para pemimpin sudah sedia bimbang tentang kemungkinan pengurangan sokongan keselamatan AS, lebih-lebih lagi selepas Trump pernah berbalah dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy dan menunjukkan kesediaan untuk berunding dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Terdahulu pada Khamis, pemimpin Eropah menyokong rancangan meningkatkan perbelanjaan pertahanan dan berikrar terus berdiri bersama Ukraine.
“Saya tahu ada kebimbangan tentang masa depan NATO,” kata Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte. “Jadi biar saya jelaskan, hubungan dan kerjasama Transatlantik kekal menjadi tunjang pakatan ini. Presiden Trump sudah menyatakan komitmen AS terhadap NATO, begitu juga harapan agar Eropah memperkukuh perbelanjaan pertahanan.”
Di Pejabat Oval, Trump turut mempersoalkan sama ada sekutu NATO, seperti Perancis, benar-benar akan melindungi AS jika berlaku krisis.
“Anda fikir mereka akan datang melindungi kita? Sepatutnya mereka buat begitu,” kata Trump. “Tapi saya tak pasti.”
Trump melihat NATO sebagai berpotensi baik sekiranya isu perbelanjaan itu diselesaikan, namun turut mengkritik pakatan itu dengan berkata, “Mereka perah kita dalam perdagangan.”
Beliau sebelum ini mengesahkan komitmen AS terhadap pertahanan bersama NATO minggu lalu, semasa sidang media bersama Perdana Menteri Britain, Keir Starmer.
Di Brussels, Presiden Perancis, Emmanuel Macron, membalas kenyataan Trump dengan mengingatkan bahawa Perancis dan negara Eropah lain pernah berjuang bersama tentera AS di Afghanistan selepas serangan 9/11.
“Bukan hanya Perancis, tetapi orang Eropah juga berada di sana apabila AS meminta bantuan di Afghanistan, dan mereka pula tidak diberi amaran sopan apabila AS menarik diri dari sana,” kata Macron. “Kami adalah sekutu yang setia.”
Trump juga mengulas tentang perjanjian keselamatan AS-Jepun, yang dikukuhkan bulan lalu dalam kenyataan bersama dengan Tokyo.
“Kami ada hubungan baik dengan Jepun, tetapi kami ada perjanjian pelik di mana kami perlu melindungi mereka, tapi mereka tak perlu melindungi kami. Anda tahu tak? Itu yang tertulis dalam perjanjian,” katanya.
“Mereka kaut keuntungan besar daripada kami secara ekonomi, siapa yang buat perjanjian macam ni?”
Kenyataan itu mengingatkan semula komen serupa Trump semasa lawatannya ke Jepun pada 2019.
Bagaimanapun, pakar Jepun di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa di Washington, Nicholas Szechenyi, berkata kenyataan Trump adalah tidak tepat secara teknikal.
Walaupun perlembagaan Jepun selepas Perang Dunia Kedua mengehadkan aktiviti ketenteraannya, pembaharuan telah membolehkan Jepun melaksanakan pertahanan bersama dan membantu melindungi AS dalam keadaan tertentu, katanya.
Ini termasuk jika serangan bersenjata ke atas negara asing yang mempunyai hubungan rapat dengan Jepun mengancam kelangsungan negara itu, jelas Szechenyi.-REUTERS