LONDON, 7 Mac- Amerika Syarikat merancang untuk mengenakan bayaran ke atas mana-mana kapal yang berlabuh di pelabuhan AS jika kapal itu sebahagian daripada armada yang melibatkan kapal buatan China atau berdaftar di bawah bendera China.
Langkah itu turut disusuli dengan desakan agar sekutu AS mengambil tindakan serupa atau berdepan tindak balas, menurut draf perintah eksekutif bertarikh 27 Februari yang dilihat oleh Reuters pada Khamis.
Pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, sedang merangka perintah eksekutif yang bertujuan untuk menghidupkan semula industri pembinaan kapal domestik dan mengurangkan pengaruh China dalam sektor perkapalan global.
Draf itu mencadangkan bayaran dikenakan ke atas mana-mana kapal yang memasuki pelabuhan AS, tanpa mengira di mana kapal itu dibina atau didaftarkan, jika kapal tersebut sebahagian daripada armada yang melibatkan kapal buatan atau berdaftar di Republik Rakyat China (PRC).
Draf penuh perintah eksekutif itu juga menggesa pegawai AS untuk bekerjasama dengan sekutu dan rakan kongsi bagi melaksanakan tindakan serupa atau berdepan risiko tindak balas daripada Washington.
Selain itu, AS turut merancang untuk mengenakan tarif ke atas peralatan pengendalian kargo buatan China, menurut draf tersebut.
"Keselamatan negara dan kemakmuran ekonomi Amerika Syarikat semakin terancam oleh amalan perdagangan tidak adil Republik Rakyat China dalam sektor maritim, logistik, dan pembinaan kapal," kata draf itu.
Reuters sebelum ini melaporkan pada Rabu mengenai rancangan untuk mengenakan bayaran ke atas kapal buatan China berdasarkan draf helaian fakta bagi perintah eksekutif 18 perkara itu.
Bulan lalu, Pejabat Wakil Perdagangan AS mencadangkan bayaran sehingga AS$1.5 juta dikenakan ke atas kapal buatan China yang memasuki pelabuhan AS, susulan siasatan mengenai penguasaan China yang semakin meningkat dalam sektor pembinaan kapal, maritim, dan logistik global.-REUTERS