WASHINGTON, 7 Mac- Syarikat aeroangkasa milik Elon Musk, SpaceX, kehilangan hubungan dengan roket Starship pada Khamis semasa misi ujian kelapan, menyebabkan demonstrasi pelancaran satelit gagal buat kali kedua berturut-turut tahun ini.
Beberapa video yang tular di media sosial memaparkan serpihan berterbangan di langit senja berhampiran selatan Florida dan Bahamas selepas Starship dilaporkan terputus di angkasa, sejurus selepas siaran langsung SpaceX menunjukkan roket itu berpusing tanpa kawalan.
Roket setinggi 403 kaki (123 meter) itu berlepas kira-kira pukul 6.30 petang dari tapak pelancaran SpaceX di Boca Chica, Texas. Bahagian penggalak peringkat pertama, Super Heavy, berjaya kembali mendarat seperti yang dirancang.
Bagaimanapun, beberapa minit kemudian, siaran langsung SpaceX menunjukkan bahagian atas Starship berputar di angkasa, manakala visual enjin roket menunjukkan beberapa enjinnya terhenti sebelum syarikat itu mengesahkan kehilangan isyarat daripada roket berkenaan.
“Malangnya, perkara ini pernah berlaku sebelum ini, jadi kami sudah ada sedikit pengalaman,” kata jurucakap SpaceX, Dan Huot, semasa siaran langsung.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengeluarkan arahan henti operasi di lapangan terbang Miami, Fort Lauderdale, Palm Beach dan Orlando susulan "serpihan pelancaran angkasa lepas" sehingga sekurang-kurangnya pukul 8 malam.
Insiden berkenaan merupakan satu lagi tamparan buat program pembangunan Starship yang dipacu pesat oleh SpaceX. Musk sebelum ini mendesak kemajuan pantas roket tersebut menjelang 2025.
Namun, kegagalan terbaru itu, kali pertama sejak letupan roket pada Januari lalu mencalar visi Musk untuk membangunkan roket yang mampu membawa muatan satelit lebih besar ke angkasa serta menghantar manusia ke bulan dan Marikh.
Letupan Starship pada Januari lepas berlaku lapan minit selepas pelancaran, menghamburkan serpihan ke beberapa pulau di Caribbean.-REUTERS