fb fb fb fb fb

Jet pejuang Korea Selatan silap jatuhkan bom,15 penduduk cedera

Seorang pegawai forensik mengambil gambar sebuah bangunan yang rosak selepas Tentera Udara Korea Selatan menyatakan bahawa bom Mk82 telah terjatuh daripada jet KF-16 di luar kawasan latihan tembakan / Foto REUTERS

POCHEON, 7 Mac– Jet pejuang tentera Korea Selatan secara tidak sengaja menjatuhkan lapan bom ke kawasan kediaman pada Khamis, mencederakan 15 orang serta merosakkan beberapa rumah dan sebuah gereja semasa latihan ketenteraan di Pocheon, menurut Tentera Udara dan agensi bomba negara itu.

Agensi bomba dalam satu kenyataan menyatakan bahawa 15 orang mengalami kecederaan, termasuk dua yang cedera parah.

Pocheon terletak kira-kira 40 kilometer (25 batu) ke timur laut Seoul, berhampiran sempadan yang dikawal ketat dengan Korea Utara.

"Tiba-tiba terdengar bunyi kuat daripada jet pejuang, kemudian letupan bergema.

"Apabila saya sampai di lokasi kejadian, terdapat kira-kira empat rumah yang separuh musnah akibat letupan itu, dan ada orang yang cedera," kata Oh Moung-su, seorang penduduk berusia 65 tahun.

"Asap tebal naik ke langit, air mencurah keluar daripada paip yang pecah. Beberapa orang dalam kenderaan menuju ke tapak pembinaan turut tercedera.Ada yang tidak dapat keluar dari kereta. Seorang lagi berada di luar kereta sambil menutup matanya," tambahnya.

Menurut Tentera Udara Korea Selatan, lapan bom Mk82 seberat 500 paun (225kg) yang dilepaskan daripada dua jet KF-16 jatuh di luar kawasan latihan semasa latihan bersama berkenaan.

"Kami memohon maaf atas kerosakan yang disebabkan oleh insiden pelepasan bom yang tidak normal ini dan mendoakan agar mereka yang cedera segera pulih," kata Tentera Udara dalam satu kenyataan.

Seorang pegawai tentera, yang enggan dikenali, berkata insiden itu berlaku akibat kesilapan juruterbang yang memasukkan koordinat yang tepat.

Pegawai itu juga menjelaskan bahawa kedua-dua jet melepaskan empat bom masing-masing, dan semuanya meletup.

Pihak berkuasa akan menggantung latihan tembakan hidup sehingga siasatan menyeluruh dapat mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Bagaimanapun, insiden ini tidak akan menjejaskan latihan ketenteraan bersama Korea Selatan dan Amerika Syarikat yang dijadualkan bermula pada Isnin ini.

Penduduk di kawasan terbabit telah lama membantah gangguan dan bahaya daripada pusat latihan ketenteraan berhampiran.

Gambar dari lokasi kejadian menunjukkan sebuah rumah yang musnah akibat impak letupan, tingkap yang pecah, serta bangunan gereja yang dipenuhi serpihan.

Rakaman kamera keselamatan yang disiarkan di televisyen tempatan turut memaparkan detik sebelum kejadian, menunjukkan sebuah trak pikap yang sedang melalui sebatang jalan sebelum kawasan tersebut dilanda letupan besar.

"Kejadian yang tidak dapat dibayangkan telah berlaku," kata Datuk Bandar Pocheon, Baeck Young-hyeun, yang menggesa kerajaan dan tentera mengambil langkah bagi mencegah sebarang insiden seumpama ini pada masa akan datang.

Sebelum insiden berlaku, Kementerian Pertahanan Korea Selatan memaklumkan bahawa latihan tembakan hidup bersama antara tentera Korea Selatan dan Amerika Syarikat sedang dijalankan di Pocheon sebagai sebahagian daripada latihan tahunan yang dijadualkan bermula minggu depan.

Latihan bersama Freedom Shield, yang berlangsung dari 10 hingga 20 Mac, bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan pakatan dalam menghadapi ancaman seperti Korea Utara, menurut Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS) sebelum insiden berlaku.

Latihan tahun ini akan mengambil kira "pengajaran daripada konflik bersenjata baru-baru ini" serta hubungan semakin erat antara Korea Utara dan Rusia, tambah JCS.-REUTERS.

"Perancang kami meneliti perkembangan global dan mengenal pasti perubahan yang berlaku untuk diintegrasikan ke dalam latihan kami," kata Ryan Donald, jurucakap Pasukan Amerika Syarikat di Korea (USFK), dalam satu taklimat media pada Khamis.

Sebanyak 70 sesi latihan lapangan gabungan telah dijadualkan dalam latihan tahun ini, kata jurucakap JCS, Lee Sung-jun.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD