fb fb fb fb fb

Kantung dana tenat, rangsum makanan Rohingya di Bangladesh dipotong separuh

FOTO AFP

DHAKA, 6 Mac- Kekurangan dana memaksa agensi makanan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengurangkan separuh bantuan makanan kepada kira-kira satu juta pelarian Rohingya di Bangladesh bermula bulan hadapan.

Komuniti Rohingya yang tertindas dan tidak bernegara itu hidup dalam keadaan daif di kem-kem bantuan di Bangladesh, kebanyakannya tiba selepas melarikan diri daripada tindakan keras tentera Myanmar pada tahun 2017.

Pemotongan bantuan yang berterusan telah menyebabkan penderitaan teruk dalam kalangan Rohingya di penempatan yang sesak, di mana mereka bergantung sepenuhnya kepada bantuan dan menghadapi masalah kekurangan zat makanan yang serius.

Program Makanan Sedunia (WFP) PBB dalam satu surat pada Rabu menyatakan bahawa kekurangan dana yang teruk telah memaksa mereka mengurangkan baucar makanan bulanan daripada AS$12.50 kepada AS$6.00 bagi setiap individu.

"Malangnya, kami masih belum menerima dana yang mencukupi dan langkah penjimatan kos semata-mata tidak mencukupi," kata surat itu.

Md. Shamsud Douza dari agensi pelarian Bangladesh memberitahu AFP bahawa pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama pemimpin komuniti minggu hadapan bagi membincangkan implikasi pemotongan tersebut.

Surat pada Rabu itu dikeluarkan beberapa hari sebelum lawatan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, yang dijadual bertemu pelarian Rohingya sempena menyambut bulan Ramadan.

Tindakan keras tentera Myanmar pada 2017 yang kini menjadi subjek siasatan genosid oleh PBB telah menyebabkan kira-kira 750,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh dengan membawa kisah-kisah menyayat hati mengenai pembunuhan, rogol dan pembakaran.

Bangladesh berdepan kesukaran untuk menyokong populasi pelarian yang besar, sementara prospek untuk penghantaran pulang secara besar-besaran ke Myanmar atau penempatan semula ke negara lain kekal samar.

Pelarian Rohingya yang tinggal di kem sekitar Cox's Bazar dilarang bekerja dan hampir sepenuhnya bergantung kepada bantuan kemanusiaan yang terhad untuk terus hidup.

Sebilangan besar pelarian turut mengambil risiko merentas laut demi mencari kehidupan yang lebih baik, termasuk lebih 250 Rohingya yang tiba di Indonesia pada Januari lalu.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE