ISTANBUL, 6 Mac- Keadaan kesihatan Paus Francis kekal stabil dan beliau melalui satu lagi malam yang tenang di sebuah hospital di Rom, tempat beliau menerima rawatan susulan masalah kesihatan, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik kenyataan Vatican pada Rabu.
“Paus Francis beristirahat dengan baik sepanjang malam dan bangun sebentar selepas 8 pagi (waktu tempatan) hari ini,” menurut pejabat akhbar Vatican.
Keadaan kesihatannya termasuk jantung, buah pinggang dan bacaan darah kekal stabil.
Paus berusia 88 tahun itu tidak mengalami sebarang komplikasi baharu sejak Isnin, selepas beliau mengalami “dua episod kegagalan pernafasan akut”.
Pada Selasa, beliau mula menerima terapi oksigen aliran tinggi dan fisioterapi pernafasan, selain dijadualkan menjalani “ventilasi tanpa invasif” sepanjang malam hingga Rabu.
Bagaimanapun, prognosis beliau masih dalam pemantauan rapi.
Ketua Gereja Katolik itu menerima rawatan di Hospital Gemelli, Rom sejak 14 Februari.- BERNAMA-AA