fb fb fb fb fb

Taiwan henti penghantaran komersial ke Amerika Syarikat

Perkhidmatan Chunghwa Post, Taiwan.

TAIPEI, 26 Ogos - Perkhidmatan pos nasional Taiwan, mengumumkan penggantungan penerimaan dan penghantaran barangan komersial ke Amerika Syarikat bermula hari ini. Ia susulan keputusan Washington menamatkan peraturan “de minimis” yang selama ini membolehkan barangan bernilai rendah dikecualikan cukai kastam.

Menurut Pengarah Jabatan Perniagaan dan Operasi Mel Chunghwa Post, Ko Ching-chang, hampir 97 peratus daripada bungkusan ke Amerika Syarikat sebelum ini dikecualikan cukai kerana bernilai di bawah AS$800, melibatkan kira-kira 340,000 barang.

“Isu ini dihadapi perkhidmatan pos seluruh dunia, terutamanya kerana syarikat penerbangan tidak dapat melaksanakan penghantaran akibat beban tarif. Maka, kami tiada pilihan selain menghentikan pengendalian bungkusan tersebut,” katanya pada sidang media di Taipei.

Ko menjelaskan segmen bungkusan ke Amerika Syarikat itu merangkumi sekitar 14 peratus operasi mel antarabangsa Chunghwa Post, menyumbang 24 peratus hasil antarabangsa. Walaupun jumlah keseluruhan mel antarabangsa hanya mewakili satu peratus daripada volum keseluruhan, ia tetap menjana hampir 10 peratus daripada pendapatan pos syarikat berkenaan.

Langkah tersebut dibuat selepas pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bulan lalu mengumumkan penamatan pengecualian global de minimis bagi barangan di bawah nilai AS$800, berkuat kuasa 29 Ogos. - REUTERS

TUN JULIA MOHD TAHIR