fb fb fb fb fb

Protes rakyat desak Netanyahu tamatkan perang Gaza

Penunjuk perasaan bertindak menyekat lebuh raya utama dengan membakar tayar.

RAMAT HASHARON, 26 Ogos - Ribuan orang awam bangkit melancarkan protes besar-besaran terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, menuntut beliau segera mencapai persetujuan dengan Hamas bagi menamatkan peperangan di Gaza serta membebaskan baki tebusan.

Dalam aksi di Ramat Hasharon, penunjuk perasaan bertindak menyekat lebuh raya utama dengan membakar tayar dan mengibarkan sepanduk bertulis “Tebusan mati tidak bersuara”. Protes tersebut merupakan sebahagian daripada kempen 'Day of Disruption' atau Hari Gangguan, yang dianjurkan di seluruh wilayah haram israel, sebagai tekanan terbuka terhadap kerajaan pimpinan Netanyahu.

Menurut penganjur, mereka kecewa dengan kegagalan Netanyahu menangani isu tebusan, malah mendakwa beliau sengaja melengah-lengahkan rundingan demi kepentingan politik.

Hamas sebelum ini menegaskan rancangan rejim israel untuk mengambil alih Bandar Gaza membuktikan ia tidak serius berhubung gencatan senjata. Gerakan itu menegaskan perjanjian damai sementara adalah satu-satunya jalan untuk memastikan tebusan selamat dibebaskan, sekali gus menuduh Netanyahu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap nyawa mereka.

Cadangan terkini merangkumi gencatan senjata 60 hari dengan pertukaran tebusan dan tahanan Palestin, sebelum rundingan lanjut ke arah perjanjian kekal. - REUTERS

TUN JULIA MOHD TAHIR