GAZA, 26 Ogos - Tentera Israel dilapor mengerahkan kereta kebal dan aset ketenteraan berhampiran sempadan Gaza pada Selasa, ketika kepulan asap tebal terus menjulang dari utara wilayah berkenaan.
Rakaman memperlihatkan askar Israel mengendalikan kenderaan tentera serta helikopter Apache melepaskan suar pertahanan, manakala latar belakang turut menunjukkan kemusnahan bangunan di utara Gaza.
Dalam kenyataan, tentera rejim Israel memaklumkan pasukan mereka kembali menjalankan operasi di kawasan Jabalia sejak beberapa hari lalu, bagi memusnahkan terowong pejuang serta memperkukuh kawalan di kawasan itu.
Sementara itu, kabinet keselamatan Israel dijangka memberi kelulusan untuk memperluas operasi ketenteraan di Gaza, meskipun sebelum ini telah meluluskan rancangan menawan Bandar Gaza yang dianggap kubu terakhir Hamas.
Namun, operasi besar tersebut dijangka hanya bermula dalam beberapa minggu akan datang, memberi ruang kepada Mesir dan Qatar untuk meneruskan rundingan gencatan senjata.