WASHINGTON, 26 Ogos - Keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memecat Gabenor Rizab Persekutuan (Fed), Lisa Cook, mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan dan kredibiliti bank pusat itu, selain dijangka meningkatkan campur tangan politik dalam dasar monetari negara berkenaan.
Cook, wanita Afrika-Amerika pertama yang dilantik ke lembaga pengurusan Fed pada 2022 oleh bekas Presiden Joe Biden, dipecat Trump atas dakwaan pelanggaran dokumen gadai janji. Bagaimanapun, Cook menolak kuasa presiden untuk berbuat demikian, dengan menyifatkannya sebagai tindakan tidak sah.
Langkah itu mendorong penurunan niaga hadapan indeks saham Amerika, manakala hasil bon jangka panjang meningkat mendadak berikutan kebimbangan pasaran terhadap risiko inflasi dan kemerdekaan Fed yang semakin terhakis.
Penganalisis ekonomi Berenberg, Atakan Bakiskan, berkata penyingkiran Cook mempercepatkan jangkaan persekitaran hasil tinggi untuk tempoh lebih lama. Katanya, sebarang ancaman kepada kebebasan Fed hanya akan menambah tekanan terhadap pasaran bon dan keyakinan pelabur asing.
“Ini hanyalah langkah awal kepada campur tangan politik yang lebih besar. Ia bukan pengakhiran,” katanya.
Cook sepatutnya berkhidmat sehingga 2038, namun Trump menggunakan klausa undang-undang yang membenarkan pemecatan ‘atas sebab tertentu’, yang tidak pernah diuji sebelum ini oleh mana-mana presiden.
Sekiranya pemecatan itu sah, Trump bakal mencalonkan anggota keempat ke dalam tujuh kerusi lembaga Fed, sekali gus memberi beliau majoriti dalam badan penggubal dasar monetari tersebut. - REUTERS