fb fb fb fb fb

Taiwan gesa China hentikan aktiviti ketenteraan yang 'merosakkan'

(Foto menunjukkan kapal induk China Shandong (L) semasa dipantau oleh kapal perang kelas Keelung Taiwan /AFP)

TAIPEI, 18 September- Kementerian Pertahanan Taiwan hari ini menggesa China menghentikan "tindakan unilateral yang merosakkan" selepas dilaporkan peningkatan mendadak dalam aktiviti ketenteraan China berhampiran pulau itu.

Amaran itu diberikan kerana ia boleh membawa ketegangan kepada kedua-dua negara.

China yang menganggap Taiwan yang ditadbir secara demokrasi sebagai wilayahnya sendiri, sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerap melakukan latihan ketenteraan di sekitar pulau itu.

Ia sebagai usaha untuk mendapatkan tuntutan kedaulatannya dan memberi tekanan terhadap Taipei.

Kementerian itu berkata sejak semalam ia telah melihat 103 pesawat tentera China di atas laut dan ia disifatkan angka yang tinggi.

Peta aktiviti China sepanjang 24 jam lalu menunjukkan jet pejuang melintasi garis tengah Selat Taiwan, yang telah menjadi penghalang tidak rasmi antara kedua-dua pihak sehingga China mula kerap melintasinya sejak setahun lalu.

Pesawat lain terbang ke selatan Taiwan melalui Saluran Bashi, yang memisahkan pulau itu dari Filipina.

Aktiviti China sepanjang hari lalu telah menyebabkan "cabaran serius" kepada keselamatan di selat dan serantau, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.


(FOTO HIASAN/ REUTERS)

"Keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan adalah tanggungjawab bersama semua pihak di rantau ini.

"Gangguan ketenteraan berterusan oleh tentera komunis dengan mudah boleh membawa kepada peningkatan ketegangan dan memburukkan keselamatan serantau.

"Kami menyeru pihak berkuasa Beijing untuk bertanggungjawab dan segera menghentikan tindakan unilateral yang merosakkan itu," menurut kenyataan itu.

Kementerian Pertahanan China bagaimana pun tidak segera memberi maklum balas.

Kementerian Pertahanan Taiwan menyatakan bahawa Julai hingga September secara tradisinya adalah musim paling sibuk untuk latihan ketenteraan China di sepanjang pantai.

China memperkukuh kuasa udaranya menghadapi Taiwan, dengan menempatkan dron baharu di pangkalan udara yang diperluaskan, kata kementerian pertahanan Taiwan dalam laporan dwitahunannya bulan ini.- REUTERS

Media Baharu