fb fb fb fb fb

Erdogan minta Elon Musk bina kilang Tesla di Turkiye

(Kilang gergasi Tesla di Austin, Texas/FOTO REUTERS)

NEW YORK, 18 September - Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan meminta CEO Tesla, Elon Musk, untuk membina kilang Tesla di Turkiye.

Permintaan itu dibuat ketika mesyuarat di Kedutaan Turkiye, atau lebih dikenali sebagai 'Turkish House' berdekatan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) di New York, menurut Agensi Anadolu.

Musk juga bakal bertemu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di California hari ini (18 Sep), yang mana perbincangan mereka akan menumpukan kepada kecerdasan buatan (AI), dedah Musk di X.

Erdogan berada di Amerika Syarikat untuk menghadiri sesi ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang bermula Isnin.

Pada Ogos, Tesla menyuarakan minat untuk membina kilang di India yang akan menghasilkan kenderaan elektrik (EV)kos rendah.

(Elon Musk/FOTO REUTERS)

Tesla kini mempunyai enam kilang dan sedang membina kilang yang ketujuh di Mexico, di wilayah utara Nuevo Leon.

Ini antara usaha pembuat kereta elektrik itu untuk mengembangkan lagi syarikatnya pada peringkat global.

Pada Mei, Musk berkata bahawa syarikat tersebut mungkin akan memutuskan lokasi buat kilang baharu menjelang hujung tahun ini.

Setakat ini, saham Tesla melonjak kepada 123 peratus dan kini telah menghasilkan lima juta kereta.

Selain mengendali Tesla, Musk juga membeli Twitter yang kini dikenali sebagai X pada harga AS$44 bilion (RM191.73 bilion) pada 2022. - REUTERS

Media Baharu