fb fb fb fb fb

Thailand lancar lebih banyak dasar populis tahun ini

BANGKOK, 18 September - Kerajaan Thailand akan melancarkan lebih banyak dasar menjelang akhir tahun ini untuk menurunkan kos sara hidup, termasuk mengurangkan harga elektrik secara beransur-ansur dan menaikkan gaji minimum, kata Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin.

Bagi mengatasi kelembapan permintaan eksport Thailand dan keyakinan pelabur yang rendah, Srettha dan kerajaan 11 partinya berjanji untuk memulihkan ekonomi kedua terbesar Asia Tenggara itu dengan beberapa siri langkah populis termasuk menggantung hutang untuk petani, menaikkan gaji minimum dan memberikan bantuan kepada semua rakyat dewasa negara itu melalui dompet digital.

"Kami sudah pun mengurangkan harga elektrik tetapi kami mahu menurunkan lebih banyak bagaimanapun ia akan mengambil masa dalam beberapa minggu," kata perdana menteri sambil menambah keadaan ekonomi negara "tidak begitu baik".

Ekonomi dijangka berkembang 2.8 peratus tahun ini, tetapi Srettha menyasarkan pertumbuhan tahunan sebanyak 5 peratus.

"Selain menurunkan kos sara hidup kerajaan akan meningkatkan pendapatan," katanya yang akan mengumumkannya pada November depan.


(Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin/FOTO REUTERS)

Srettha, seorang taikun hartanah dan pendatang baru dalam politik, menerima kecaman di Parlimen kerana dasar yang dikatakan pembangkang tidak mempunyai hala tuju yang jelas.

Bagaimanapun, beliau berkata dasar itu akan bertanggungjawab secara fiskal.

Srettha berkata beliau akan menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York minggu ini, sambil menambah pentadbirannya mengekalkan pendirian neutral negara itu di pentas dunia.

"Kami mempunyai hubungan baik dengan China dan AS. Kami perlu mengambil sikap berkecuali. Tidak condong ke satu arah atau pihak yang lain," katanya.

Beliau juga bercadang untuk bertemu dengan eksekutif perniagaan tertinggi semasa lawatannya ke AS untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Thailand. - REUTERS

Media Baharu