fb fb fb fb fb

Banjir Libya: Usaha mencari,menyelamat mangsa diteruskan

(Pasukan penyelamat dari Tunisia bersama mayat mangsa
di bandar Derna, Libya yang musnah/ AFP)

DERNA, 18 September- Seminggu selepas banjir kilat seakan tsunami memusnahkan bandar pesisir pantai Libya, Derna yang telah meragut ribuan nyawa; memperlihatkan usaha bantuan antarabangsa terus dipergiat.

Pasukan mencari dan menyelamat yang memakai topeng muka dan pakaian pelindung meneruskan usaha mencari mayat atau mana-mana mangsa yang terselamat di tanah terbiar berlumpur serta bangunan yang hancur, kereta remuk dan pokok tumbang.

Penduduk yang trauma dan 30,000 daripadanya kini kehilangan tempat tinggal amat memerlukan air bersih, makanan, tempat tinggal dan bekalan asas di tengah-tengah risiko taun yang semakin meningkat.

 

Ia juga menyebabkan pelbagai penyakit seperti cirit-birit, dehidrasi dan kekurangan zat makanan, menurut agensi PBB.

"Di bandar ini, setiap keluarga telah terjejas," kata seorang penduduk, Mohammad al-Dawali.

Seorang lagi penduduk, Mohamed al-Zawi, 25, menceritakan bagaimana dia melihat "sebuah gunung air yang besar menghanyutkan kereta, manusia, harta benda dan mencurahkan segala-galanya ke laut".

Di tengah-tengah kekacauan itu, jumlah kematian sebenar masih tidak diketahui, namun jumlah tidak terkira telah dihanyutkan ke laut.

Menteri Kesihatan Pentadbiran Timur, Othman Abdeljalil, berkata 3,283 orang disahkan maut di Derna selepas 31 lagi mayat ditemui pada Ahad.


(FOTO AFP)

Pegawai Libya dan pertubuhan kemanusiaan telah memberi amaran, bagaimanapun, bahawa angka terakhir mungkin lebih tinggi dengan beribu-ribu masih hilang.

Sementara itu, anggota pasukan penyelamat Greece yang dalam perjalanan dari Benghazi ke Derna terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Ahad, kata pihak berkuasa di kedua-dua negara.

Abdeljalil memberitahu pemberita di Derna empat anggota pasukan penyelamat maut dan 15 cedera serta tujuh parah, selepas bas persiaran yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta.

Mangsa tiga sekeluarga yang menaiki kereta tersebut turut terkorban.

Di Athens, satu kenyataan Staf Am Pertahanan Negara Greece berkata terdapat kemalangan tetapi hanya memaklumkan ia adalah "kecederaan kecil" dalam kalangan ahli pasukan, dan keadaan "belum dijelaskan".

Utusan PBB Libya Abdoulaye Bathily melawat Derna pada hari Sabtu, dan menyiarkan di X memberitahu bahawa kemusnahan itu "benar-benar menyayat hati.

"Saya melihat sendiri besarnya bencana itu. Krisis ini di luar kemampuan Libya untuk mengurus, ia melangkaui politik dan sempadan," katanya.

Pasukan tindak balas kecemasan dan bantuan telah dikerahkan dari Perancis, Greece, Iran, Rusia, Arab Saudi, Tunisia, Turki dan Emiriah Arab Bersatu dan dijangkakan lebih banyak lagi bantuan dari negara lain dalam perjalanan. -AFP

Media Baharu