fb fb fb fb fb

Taiwan catat lebih 10,000 kes COVID-19 selepas beralih daripada strategi 'Sifar COVID-19'

TAIPEI, 29 April- Buat pertama kalinya, lebih 10,000 kes jangkitan baharu direkodkan di Taiwan pada Khamis selepas kerajaan mengambil keputusan beralih daripada strategi 'Sifar COVID-19' dan mula hidup dengan virus tersebut.

Menteri Kesihatan, Chen Shih-chung, berkata Taiwan mempunyai 11,353 kes jangkitan tempatan, dua kematian dan 164 kes import.

Jelas beliau, sejak 1 Januari lalu, 99.7 peratus daripada 51,504 jangkitan yang direkodkan adalah sederhana dan tidak bergejala, dengan tujuh kematian sepanjang tempoh itu.

"Kita berada di fasa di mana kes memang dijangka akan meningkat secara mendadak dan itu tidak dapat dielakkan," katanya.

Beliau memberi amaran kes jangkitan harian mungkin meningkat dua kali ganda kepada 37,000 kes dalam seminggu.

Kira-kira 80 peratus penduduk Taiwan sudah menerima dua suntikan, manakala 58 peratus sudah menerima dos penggalak ketiga.

Sepanjang minggu ini, penduduk di Taipei dilihat beratur di luar farmasi untuk membeli kit ujian saringan, yang kini dicatu oleh kerajaan.

(Penduduk Taiwan beratur untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 / Foto Reuters)

Kerajaan juga sudah memulakan pelan baharu untuk memendekkan kuarantin kendiri bagi kontak rapat kes COVID-19 daripada 10 hari kepada tiga hari, sekiranya ujian rapid antigen adalah negatif di akhir tempoh kuarantin.

Negara itu juga mempertimbang untuk melonggarkan peraturan kuarantin 10 hari bagi ketibaan asing.

Sejak bermulanya pandemik, Taiwan melaporkan 88,000 kes dan 860 kematian.

Peralihan Taiwan daripada strategi 'Sifar COVID-19' menjadikan China dan hab kewangannya, Hong Kong, satu-satunya ekonomi utama yang berpegang teguh kepada strategi tersebut meski Omicron memecahkan benteng pertahanan itu dan memaksa pelaksanaan perintah berkurung.

Sebelum ini, Taiwan menutup sempadannya dan melaksanakan perintah kuarantin yang ketat sepanjang pandemik bagi mengurangkan angka jangkitan.

Penularan pada tahun lalu memaksa pelaksanaan semula langkah penjarakan sosial sehingga kes berada di bawah kawalan.

Kini jangkitan sekali lagi meningkat, bagaimanapun pemimpin memberi isyarat untuk mengikuti strategi bekas negara ekonomi yang melaksanakan 'Sifar-COVID-19' seperti Singapura, Australia dan New Zealand dengan hidup bersama COVID-19.- AFP

Media Baharu