FOTO AFP
TAIPEI, 12 Januari - Pasukan penyelamat Taiwan menemukan bangkai pesawat F-16V yang terhempas ke dalam laut semalam.
Tentera Udara Taiwan berkata, nahas berlaku kurang dua bulan selepas skuadron pejuang tercanggih pertamanya dilancarkan.
"Jet pejuang itu hilang daripada radar kira-kira setengah jam selepas berlepas untuk misi latihan rutin dari pangkalannya di barat daya Taiwan pada Selasa. Pesawat itu menjunam ke dalam laut tanpa sebarang tanda juruterbang berusia 28 tahun itu melepaskan diri tepat pada masanya," katanya.
Sementara itu, Pusat Penyelamat Kebangsaan berkata, serpihan pesawat telah ditemui, namun juruterbangnya tidak dapat dikesan.
"Misi mencari dan menyelamat melibatkan melibatkan beberapa helikopter, kapal pengawal pantai dan lebih 60 pegawai," katanya.
Insiden tersebut telah memberi tamparan hebat kepada skuadron baharu pesawat F-16V buatan Amerika Syarikat (AS) yang ditugaskan pada November lepas, ketika Taiwan memperhebat armadanya di tengah-tengah ketegangan dengan China.
Susulan kejadian itu seluruh armada F16 digantung sementara.
Tentera udara Taiwan telah mengalami rentetan nahas maut sejak bebera tahun kebelakangan ini, menerima tekanan berterusan daripada China.
Mac lalu, Taiwan menggantung semua pesawat tenteranya selepas seorang juruterbang terbunuh dan seorang lagi hilang apabila pesawat pejuang mereka bertembung di udara, dalam nahas maut ketiga bagi tempoh kurang enam bulan. -AFP