fb fb fb fb fb

PBB keluarkan AS$1.9 bilion untuk bantu 10.9 juta penduduk Sudan

NEW YORK, 12 Januari - Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) pada Selasa mengeluarkan Pelan Respons Kemanusiaan Sudan bernilai AS$1.9 bilion untuk 2022.

Menurut OCHA, lebih AS$800 juta akan digunakan untuk aktiviti menyelamatkan nyawa 10.9 juta penduduk yang terancam daripada 14.3 juta yang disasarkan di seluruh Sudan memerlukan bantuan kemanusiaan.

Dianggarkan separuh daripada mereka yang sangat terancam berada di barat Darfur, manakala penduduk lain yang memerlukan tinggal di ibu kota Khartoum dan Kordofan Selatan.

“Sudan mengalami peningkatan keperluan kemanusiaan yang sebahagian besarnya didorong oleh kemelesetan ekonomi yang bermula pada 2018, masalah keselamatan makanan yang teruk, konflik, perpindahan berskala besar, bencana alam seperti banjir, serta pengurangan penyampaian perkhidmatan sosial dan kapasiti untuk bertindak terhadap wabak penyakit, termasuk COVID-19," kata OCHA.

Rancangan itu meliputi banyak sektor bantuan termasuk perkhidmatan kesihatan penting, pencegahan dan rawatan penyakit bawaan air dan bawaan vektor serta akses kepada pendidikan, mata pencarian, serta air dan sanitasi.

"Tahap keadaan teruk yang semakin meningkat dan kedaifan penduduk yang terdedah memerlukan pembiayaan kemanusiaan yang segera, awal dan fleksibel", kata OCHA.

Tahun lalu, pekerja bantuan berkata mereka menyampaikan bantuan kepada lebih 8.1 juta orang di Sudan.

Media Baharu