CEIBA, 27 November – Amerika Syarikat (AS) dilaporkan mengerahkan pesawat tentera ke bekas pangkalan tentera laut Roosevelt Roads di Ceiba, Puerto Rico, mencerminkan persiapan Washington untuk fasa baharu operasi berkaitan Venezuela, menurut pegawai Amerika Syarikat.
Rakaman dari pangkalan itu menunjukkan pesawat CH-53E Super Stallion milik Kor Marin AS diparkir di belakang pesawat pejuang F-35B, manakala beberapa F-35B lain dilihat bergerak di landasan dan bersiap untuk berlepas.
Beberapa pesawat Osprey Kor Marin juga mendarat di fasiliti tersebut, yang kini menjadi hab bagi penempatan terkini di Caribbean.
Foto REUTERS
Pada Isnin (24 November), pegawai tentera tertinggi Amerika Syarikat dan penasihat tentera Presiden Donald Trump, Dan Caine, mengunjungi Puerto Rico ketika Washington meneruskan salah satu penempatan tentera laut terbesar di Caribbean dalam beberapa dekad, meningkatkan ketegangan dengan Venezuela berhubung dakwaan operasi anti-dadah.
Caine turut bertemu dengan anggota tentera yang ditempatkan di Puerto Rico dan di atas kapal perang Tentera Laut AS di perairan serantau.
Setakat ini, Reuters belum mengesahkan masa atau skop operasi yang dirancang, mahupun sama ada Presiden Donald Trump telah memberi kelulusan untuk sebarang tindakan.
Laporan mengenai kemungkinan pergerakan tentera meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini apabila aset tentera AS ditempatkan lebih dekat dengan Venezuela susulan hubungan yang merosot dengan kerajaan Presiden Nicolás Maduro. -REUTERS