fb fb fb fb fb

44 orang maut dalam kebakaran menara kediaman di Hong Kong, tiga ditahan

Foto REUTERS

HONG KONG, 27 November – Detik pilu menyelubungi Hong Kong apabila insiden kebakaran paling dahsyat di bandar mega itu dalam tempoh 30 tahun telah meragut 44 nyawa, sementara puluhan lagi bertarung nyawa di hospital selepas dua menara kediaman tinggi musnah dijilat api.

Pasukan bomba dilaporkan masih berusaha memadamkan kebakaran besar yang merebak pantas pada bangunan yang diselubungi perancah buluh serta bahan penutup yang mudah terbakar.

2711 LNR HONGKONG FIRE POLICE 2Foto REUTERS

Menurut polis, pemeriksaan awal mendapati kerja penyelenggaraan melibatkan pemasangan plastik dan buih penebat yang tidak memenuhi piawaian keselamatan kebakaran, selain tingkap di salah sebuah bangunan ditutup sepenuhnya sehingga menyukarkan usaha menyelamat.

“Kami percaya terdapat unsur kecuaian serius oleh pihak yang bertanggungjawab sehingga menyebabkan api merebak secara tidak terkawal dan membawa kepada jumlah korban besar,” kata Polis Hong Kong, Eileen Chung.

Tiga lelaki dari syarikat pembinaan yang terlibat dalam kerja penyelenggaraan telah ditahan atas syak wasangka melakukan kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat (manslaughter).

2711 LNR HONGKONG FIRE POLICE 3Foto REUTERS

Dalam kejadian itu, seorang anggota bomba turut terkorban ketika menjalankan tugas menyelamat. Seramai 45 lagi mangsa dilaporkan kritikal dan menerima rawatan rapi di hospital sekitar bandar.

Hong Kong sebelum ini berdepan tekanan sosial berpunca daripada harga hartanah yang melambung tinggi, dan tragedi ini dijangka mencetuskan semula rasa tidak puas hati terhadap pihak berkuasa menjelang pilihan raya legislatif awal Disember ini. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN