fb fb fb fb fb

Banjir dan tanah runtuh di Sumatera Utara ragut 24 nyawa, ribuan terjejas

Foto AFP

SIBOLGA, 27 November - Tragedi banjir dan tanah runtuh yang melanda wilayah Sumatera Utara, Indonesia, meragut sekurang-kurangnya 24 nyawa dan memaksa ribuan penduduk dipindahkan, ketika Asia Tenggara berdepan siri bencana alam maut.

Menurut agensi meteorologi negara itu, taufan tropika yang melintasi pulau Sumatera membawa hujan lebat dan menyebabkan air Selat Melaka melimpah, seterusnya mengakibatkan banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan.

Yuyun Karsono, pegawai di Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB). wilayah itu, memaklumkan sekurang-kurangnya 24 orang maut manakala lima lagi dilaporkan hilang.

Kawasan paling teruk terjejas ialah Sibolga dan Tapanuli Tengah, dengan perhubungan dan bekalan elektrik terputus.

Antara yang terkorban termasuklah satu keluarga di Tapanuli Tengah, menurut agensi mencari dan menyelamat Indonesia.

Banjir turut menjejaskan wilayah Sumatera Barat, di mana pokok tumbang menghalang laluan jalan dan jentera pengorek digunakan untuk membersihkan timbunan lumpur bagi mencari mangsa yang hilang, menurut rakaman saluran berita Kompas TV.

Banjir yang berlaku di Indonesia itu adalah sebahagian daripada siri bencana yang melanda Asia Tenggara.

Pakar kaji cuaca menegaskan kejadian ekstrem seperti itu dijangka menjadi lebih kerap akibat pemanasan global, dengan suhu permukaan laut yang tinggi meningkatkan kekuatan taufan tropika. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN