fb fb fb fb fb

Tahan aktivis GSF: 'Memalukan dan tidak masuk akal!' Lisbon kecam Israel

Ribuan di Lisbon kecam Israel, tindakan menahan aktivis GSF disifatkan memalukan dan tidak masuk akal

LISBON, 5 Oktober - Ribuan penyokong Palestin berhimpun di ibu negara Portugal, semalam, bagi membantah tindakan tentera Israel menahan aktivis flotila kemanusiaan ke Gaza yang dipintas di perairan antarabangsa minggu ini.

Penunjuk perasaan berarak di jalan utama Lisbon sambil mengibarkan bendera Palestin dan membawa sepanduk bertulis “Hentikan pembunuhan beramai-ramai” serta “Gaza tidak akan memaafkan sikap berdiam diri kamu”!

Mereka turut mendesak kerajaan Portugal mengambil pendirian tegas terhadap kekejaman Israel dan menghentikan dasar yang dilihat menyebelahi rejim Zionis.

“Kerajaan Portugal bersubahat terhadap apa yang berlaku di Timur Tengah. Kita perlu mendesak supaya dasar sokongan terhadap Israel dihentikan segera,” kata penunjuk perasaan, Arturo.

Beliau turut menuntut pembebasan semua aktivis yang ditahan, termasuk Ahli Parlimen Portugal Mariana Mortagua, sambil menyifatkan kenyataan Menteri Pertahanan Portugal yang menuduh ahli flotila sebagai pengganas sebagai tidak bertanggungjawab.

“Kami mahu menunjukkan solidariti kepada Palestin, dan kami juga mahu bertindak — menghentikan jentera ketenteraan Israel di Portugal,” tegasnya.

Seorang lagi penunjuk perasaan, Ana, mengecam penahanan aktivis flotila sebagai jenayah, sambil menegaskan bahawa mereka “diculik di perairan antarabangsa” ketika membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Tujuan utama flotila ialah menarik perhatian dunia bahawa bantuan asas seperti makanan dan ubat-ubatan tidak sampai ke Gaza,” katanya.

Peserta lain, Holly, pula menyifatkan tindakan Israel sebagai tidak masuk akal dan memalukan.

Demonstrasi serupa turut diadakan di London dan Rome, susulan tindakan Israel memintas 42 kapal Global Sumud Flotilla yang membawa aktivis antarabangsa termasuk Greta Thunberg dan Mandla Mandela.

Kementerian Luar Palestin menyifatkan tindakan Israel sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa, manakala protes solidariti untuk Gaza terus meluas di seluruh dunia. - VIORY

GRACE AISYAH KEDAYAN