SEOUL, 5 Oktober - Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, mengumumkan bahawa Pyongyang telah memperuntukkan aset strategik bagi menghadapi peningkatan kehadiran ketenteraan Amerika Syarikat di Korea Selatan, serta berikrar untuk membangunkan langkah ketenteraan tambahan, lapor agensi berita rasmi KCNA, hari ini.
Menurut Kim, pertambahan bilangan anggota tentera dan aset AS di Semenanjung Korea turut meningkatkan kepentingan strategik negaranya di rantau itu. Justeru, Korea Utara telah menempatkan aset khas pada sasaran utama yang dikenal pasti sebagai kepentingan strategik.
“Seiring dengan peningkatan kehadiran tentera Amerika di Korea, kepentingan strategik kami di rantau ini turut bertambah, dan kami telah memperuntukkan aset khas bagi sasaran utama kami. Saya percaya musuh-musuh kami wajar bimbang dengan hala tuju perkembangan persekitaran keselamatan mereka,” katanya dalam satu pameran ketenteraan sempena ulang tahun ke-80 penubuhan Parti Pekerja Korea.
Kim turut menegaskan negaranya tidak akan teragak-agak untuk memperkukuh keupayaan pertahanan dengan membangunkan langkah ketenteraan baharu sebagai tindak balas terhadap peningkatan kehadiran tentera AS di wilayah itu.
Laporan turut menyebut, Korea Utara kini mempererat hubungan ketenteraan dengan Rusia dan didakwa menyokong peperangan Presiden Vladimir Putin di Ukraine melalui penghantaran tentera serta bekalan artileri.
Selain itu, Kim juga dilaporkan memperkukuh hubungan dengan China, termasuk menghadiri perbarisan tentera di Beijing baru-baru ini sempena ulang tahun ke-80 tamatnya Perang Dunia Kedua bersama Presiden Xi Jinping dan Presiden Putin.-REUTERS