BULGARIA, 5 Oktober - Sekurang-kurangnya empat maut, termasuk seorang pelancong Rusia, selepas hujan lebat mengakibatkan banjir besar di timur Bulgaria.
Bencana itu turut memaksa ratusan penduduk dipindahkan.
Seorang penduduk tempatan, Gergana, meluahkan rasa sedih kerana mengenali salah seorang mangsa yang terkorban, yang sepatutnya kini bersama keluarga.
"Saya kenal salah seorang penyelamat (mangsa) yang terkorban. Dia tinggal berdekatan. Sayang sekali! Sepatutnya dia kini bersama cucunya, tapi lihatlah apa yang terjadi," katanya di sini.
Pasukan keselamatan melibatkan anggota tentera, bomba, polis dan sukarelawan digerakkan bersama pihak berkuasa tempatan bagi membersihkan lumpur tebal, serpihan serta pokok tumbang.
Ketika ini, kawasan bencana masih ditutup kepada orang awam, namun pihak berkuasa memberi jaminan kediaman penduduk yang dipindahkan berada dalam keadaan selamat.
Susulan kejadian itu, darurat telah diisytiharkan di Perbandaran Tsarevo selepas hujan lebat menenggelamkan jalan raya dan jambatan.
Penduduk diingatkan supaya kekal berada di rumah dan menangguhkan sebarang perjalanan tidak penting.
Banjir berkenaan dilaporkan berpunca daripada taburan hujan antara 200 hingga 250 milimeter dalam tempoh singkat, sekali gus mengulangi tragedi banjir kilat di pantai Laut Hitam pada September 2023 yang turut meragut nyawa serta memusnahkan infrastruktur. –VIORY