DAMSYIK, 6 Oktober – Jawatankuasa tempatan di Syria selesai mengundi bagi memilih anggota parlimen peralihan pertama pasca pemerintahan Bashar al-Assad, meskipun proses berkenaan dikritik sebagai tidak demokratik kerana sepertiga ahlinya akan terus dilantik oleh pemimpin interim, Ahmed al-Sharaa.
Penubuhan dewan itu dijangka mengukuhkan lagi kuasa Sharaa, yang mengetuai pakatan Islamis menumbangkan Assad pada Disember lalu selepas lebih 13 tahun perang saudara.
Ahli jawatankuasa tempatan dilihat beratur di Perpustakaan Negara Syria yang sebelum ini dikenali sebagai Perpustakaan Nasional Assad untuk mengundi.
Suruhanjaya pilihan raya memaklumkan pada sebelah malam bahawa proses pengundian telah berakhir dan pengiraan sedang dijalankan.
Seorang anggota jawatankuasa pemilihan Damsyik memberitahu AFP bahawa keputusan awal mungkin diketahui pada malam Ahad, namun senarai penuh pemenang hanya akan diumumkan pada Isnin.
Sekitar 6,000 orang menyertai proses pemilihan itu, dengan lebih 1,500 calon bertanding, hanya 14 peratus daripadanya wanita bagi mengisi kerusi dewan yang mempunyai mandat boleh diperbaharui selama 30 bulan.
Mengikut perlembagaan sementara yang diumumkan pada Mac, parlimen baharu ini akan menjalankan fungsi perundangan sehingga perlembagaan kekal digubal dan pilihan raya baharu diadakan. -AFP