ROM, 6 Oktober – Seramai 15 lagi rakyat Itali yang ditahan tentera Israel selepas menyertai misi bantuan Global Sumud Flotilla (GSF) akan meninggalkan Israel pada hari ini, menurut Menteri Luar Itali, Antonio Tajani.
“Mereka akan berlepas esok (hari ini) dengan pesawat sewaan ke Athens. Kedutaan Itali akan membantu urusan pelepasan dan seterusnya ketika transit di Greece sebelum pulang ke Itali,” kata Tajani menerusi platform X, lewat Ahad.
Kumpulan ini merupakan baki terakhir rakyat Itali yang ditahan, selepas 26 orang yang lain telah kembali ke Rom pada Sabtu lalu.
Tidak seperti kumpulan pertama, mereka terpaksa menunggu proses pengusiran secara kehakiman kerana enggan menandatangani borang pelepasan sukarela.
Ketibaan kumpulan pertama di Lapangan Terbang Fiumicino, Rom, disambut kira-kira 200 orang penyokong.
Beberapa peserta misi bantuan tersebut mendakwa mereka dilayan secara tidak berperikemanusiaan ketika ditahan, termasuk wartawan Fanpage, Saverio Tommasi yang berkata beliau dipukul di bahagian belakang dan kepala.
“Kami dilayan seperti monyet tua di sarkas paling teruk era 1920-an,” katanya ketika dipetik agensi berita Ansa.
GSF berlayar bulan lalu dengan membawa ahli politik dan aktivis termasuk kempen alam sekitar Sweden, Greta Thunberg menuju ke Gaza yang menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) kini dilanda kebuluran.
Tentera Israel mula memintas bot-bot berkenaan pada Rabu dan sehari kemudian mengesahkan lebih 400 orang yang menaiki flotila telah dihalang daripada memasuki wilayah Palestin berkenaan. -AFP