fb fb fb fb fb

Suspek tembakan rambang di AS berusia 15 tahun, kritikal ditembak polis

(FOTO REUTERS)

WASHINGTON, 15 Oktober - Lelaki bersenjata yang dipercayai membunuh lima orang di North Carolina dalam insiden tembakan rambang terbaharu di Amerika Syarikat (AS) adalah seorang budak lelaki berusia 15 tahun.

Suspek dalam keadaan kritikal selepas ditembak polis.

Dua lagi individu cedera dalam tembakan yang berlaku pada malam Khamis, di mana motifnya masih dalam siasatan, kata ketua polis Raleigh, Estella Patterson.

Beliau berkata kematian melibatkan seorang pegawai polis yang tidak bertugas berusia 29 tahun yang dalam perjalanan ke tempat kerja.

Empat lagi mangsa ialah seorang lelaki berusia 16 tahun dan tiga wanita berusia 35, 49 dan 52 tahun.



(Gabenor Raleigh, Roy Cooper menyifatkan insiden tembakan rambang tersebut sebagai 
 tindakan keganasan yang tidak masuk akal, mengerikan dan menjengkelkan/ REUTERS) 

Seorang wanita berusia 59 tahun juga masih dirawat di hospital dan berada dalam keadaan kritikal.

"Mimpi ngeri setiap komuniti telah datang ke Raleigh," kata Gabenor, Roy Cooper. "Ini adalah tindakan keganasan yang tidak masuk akal, mengerikan dan menjengkelkan."

Presiden AS, Joe Biden mengecam tembakan itu dan berkata keganasan senjata api di AS kini begitu berleluasa.

"Cukup. Kami telah berduka dan berdoa apabila terlalu ramai keluarga yang terpaksa menanggung beban yang dahsyat akibat tembakan besar-besaran ini," kata Biden dalam satu kenyataan.

Beliau mengulangi rayuannya untuk mengharamkan senapang serangan berkuasa tinggi yang kebiasaannya digunakan dalam pembunuhan beramai-ramai, satu cadangan yang berulang kali gagal kerana mendapat tentangan daripada Republikan di Kongres.

Penembak dalam kes terbaharu ini melepaskan tembakan di Raleigh berhampiran denai berjalan kaki yang popular iaitu Neuse River Greenway. -AFP

Media Baharu