fb fb fb fb fb

Korea Utara lancar peluru berpandu balistik jarak dekat

(Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik jarak dekat ke arah laut di luar pantai
timur negara itu/ REUTERS)

KOREA UTARA, 15 Oktober - Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik jarak dekat ke arah laut di luar pantai timur negara itu.

Menurut Ketua Staf Bersama (JSC), Korea Selatan turut menghantar jet pejuang apabila kira-kira 10 pesawat tentera Korea Utara terbang menghampiri sempadan mereka.

Korea Utara melepaskan kira-kira 170 das tembakan artileri ke dalam zon penampan laut, di luar pantai timur dan baratnya.

Majlis Keselamatan Negara Korea Selatan (NSC) mengutuk tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai pencabulan pakatan tentera dua hala 2018.

Pakatan tersebut melarang tindakan permusuhan di kawasan sempadan.


(Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik jarak dekat ke arah laut di luar pantai
timur negara itu/ REUTERS)

Dalam pada itu, Korea Selatan menyenarai hitam 15 individu dari Korea Utara dan 16 institusi dalam sekatan unilateral pertamanya terhadap Pyongyang sejak lima tahun lalu.

Ia sebagai tindak balas terhadap ancaman nuklear dan peluru berpandu yang semakin meningkat oleh unit operasi nuklear taktikal.

Individu tersenarai termasuk pegawai di firma perkapalan dan organisasi berkaitan program peluru berpandu Utara, serta mereka yang terlibat dalam perolehan bekalan senjata pemusnah besar-besaran.

Sekatan baharu itu diumum, ketika Korea Utara meningkatkan ketegangan di semenanjung Korea dengan serangan peluru berpandu provokatif bertubi-tubi dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

Ini kali pertama kerajaan Korea Selatan mengenakan sekatan ke atas Korea Utara sejak 2017 susulan ujian nuklear keenam Pyongyang.

Kementerian Luar juga akan mempertimbang untuk mengenakan sekatan tambahan ke atas Pyongyang sekiranya negara itu melakukan provokasi selanjutnya.

Sekatan terbaharu oleh Seoul dilihat sebagai simbolik, kerana semua transaksi antara kedua-dua Korea telah diharamkan selama bertahun-tahun. -REUTERS

Media Baharu