fb fb fb fb fb

Banjir Texas: 13 terbunuh, puluhan kanak-kanak masih hilang

Foto Reuters

TEXAS, 5 Julai - Seramai 13 orang disahkan maut selepas hujan lebat mencetuskan banjir kilat yang dahsyat di kawasan selatan tengah Texas pada Jumaat, menurut kenyataan rasmi Pejabat Syerif Kerr County.

Leftenan Gabenor Texas, Dan Patrick menyifatkan kejadian itu sebagai “hari yang sangat sukar buat Texas” semasa mengumumkan angka korban awal antara enam hingga sepuluh orang, sambil memberi amaran jumlah tersebut dijangka meningkat berikutan operasi mencari dan menyelamat yang masih giat dijalankan.

“Ada yang dewasa, ada yang kanak-kanak,” katanya dalam satu sidang media di Austin, sambil memaklumkan beberapa mangsa ditemui di dalam kenderaan yang dihanyutkan arus deras.

Beliau turut mengesahkan lebih 20 orang kanak-kanak daripada Kem Mystic, sebuah kem musim panas yang menempatkan lebih 750 peserta masih belum dapat dikesan.

“Ini tidak bermaksud mereka hilang. Mereka mungkin berlindung di atas pokok atau berada di luar liputan komunikasi,” katanya.

Patrick menjelaskan, hujan lebat telah menyebabkan Sungai Guadalupe melimpah secara mendadak, meningkat setinggi 26 kaki dalam tempoh hanya 45 minit, menukar dasar sungai yang kering kepada aliran banjir yang ganas dan berbahaya.

Bagi menghadapi krisis tersebut, pasukan penyelamat termasuk helikopter, dron dan penyelam telah digerakkan ke kawasan terjejas.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN